Selasa, 4 Januari 2022 | 5:26pm
Ahmad Faizal ketika hadir majlis Program Sukarelawan Pasca Banjir KBS di IKTBN Sepang hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal ketika hadir majlis Program Sukarelawan Pasca Banjir KBS di IKTBN Sepang hari ini. - Foto Bernama

Hampir 4,000 sukarelawan pasca banjir KBS bantu mangsa bencana

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggerakkan 3,864 sukarelawan pasca banjir kementerian itu bagi membantu mangsa banjir di negeri terjejas sejak 19 Disember lalu, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, sukarelawan pasca banjir KBS itu turut disertai 731 pegawai dan kakitangan kementerian serta tenaga pengajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

"Sukarelawan ini membabitkan individu berdaftar di bawah KBS, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Team KBS dan Alumni MyCorps," katanya selepas majlis penerimaan sumbangan bagi menjayakan program itu di sini, hari ini.

Bagi memastikan kelancaran program itu, Ahmad Faizal berkata, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri mengaktifkan Pusat Panggilan Sukarelawan di negeri masing-masing.

Beliau berkata, pusat panggilan negeri itu dikoordinasikan oleh Bilik Gerakan Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS yang berpusat di Menara KBS, Putrajaya.

Katanya, program itu turut mendapat perhatian syarikat korporat yang meminjamkan beberapa jenis jentera berat termasuk 25 lori Roro, 14 lori pembuang, lapan pengorek kaut dan sebuah lori tangki.

"Jentera berat ini akan dikendalikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Mengenai kawasan tumpuan bagi misi bantuan hari ini, beliau berkata, pihaknya mengarahkan sukarelawan terbabit bergerak ke kawasan angkat KBS sekitar Selangor iaitu di Kampung Bukit Tadom, Kampung Bukit Serdang, Labohan Dagang, Bukit Changgang dan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang.

Ditanya perancangan KBS menyumbang tenaga sukarelawannya dalam misi bantuan ketika gelombang kedua banjir, Ahmad Faizal berkata, beliau sudah menghubungi Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim bagi membincangkan perkara itu.

"Pagi tadi saya menghubungi Aminuddin untuk tawarkan tenaga sukarelawan kami bagi membantu mangsa banjir," katanya.

Ketika ini negeri terjejas banjir adalah Johor, Melaka, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah. – BERNAMA

Berita Harian X