Selasa, 4 Januari 2022 | 2:52pm
Beberapa sungai di Melaka turut menunjukkan trend penurunan hari ini. - Foto Bernama
Beberapa sungai di Melaka turut menunjukkan trend penurunan hari ini. - Foto Bernama

12 sungai di enam negeri lepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Aras air 12 sungai di enam negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka, melepasi tahap bahaya setakat tengah hari ini.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan aras air di dua sungai di Pahang, satu di Selangor, lima di Johor, satu di Negeri Sembilan, satu di Terengganu dan dua di Melaka berada pada amaran merah.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada 12 sungai itu masih menunjukkan peningkatan manakala dua sungai tidak mencatat perubahan aras air dan selebihnya sedang mengalami penurunan.

Di Pahang, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan berada pada paras 16.28 meter, melebihi paras bahaya 14.9 meter (m) dan masih menaik, manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera mencatat paras 32.76m (paras bahaya 30.5m), namun sedang menurun.

Di Selangor pula, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatat paras 3.33m, melebihi paras bahaya 2.3m dan masih meningkat ketika ini.

Di Johor, lima sungai yang melebihi tahap bahaya adalah Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar yang mencatat paras 2.68m; selain Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (2.56m), Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.49m); Sungai Segamat di Bandar Segamat (9.57m) dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (4.25m).

Aras air di empat daripada lima sungai itu dalam pola menurun iaitu Sungai Pagoh, Sungai Lenik, Sungai Segamat dan Sungai Tangkak, manakala paras air Sungai Pulai tidak mencatat sebarang perubahan.

Turut melebihi paras bahaya adalah Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan yang mencatat bacaan 34.66m, melebihi paras bahaya 33m, namun ia juga dalam pola menurun.

Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu, Terengganu pula mencatat bacaan 21.02m, melebihi paras bahaya 21m, dan masih dalam trend menaik.

Di Melaka pula, dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin dengan bacaan 3.73m, selain Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah yang merekodkan bacaan 2.75 m.

Sungai Melaka berada dalam trend menurun setakat jam 1 tengah hari tadi, manakala aras air Sungai Kesang tidak mencatat sebarang perubahan.

Dalam pada itu, 14 sungai di Pahang (lapan), Johor (tiga), Negeri Sembilan (satu), Melaka (satu) dan Sabah (satu) sudah melebihi paras amaran, dengan enam daripadanya menunjukkan trend menaik.

Sungai yang melebihi paras amaran di Pahang ialah Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera (25.72m); Paya Gintong, Jerantut (44.67m); Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran (21.51m).

Selain itu, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong (52.72m); Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.28m); Sungai Triang di Bera (34.4m); Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan (4.11m) dan Sungai Pahang di Temerloh (31.48m).

Tiga sungai di Johor ialah Sungai Muar di Panchor, Muar (2.08m); Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (2.32m) dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak (3.3m).

Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan turut melebihi paras amaran dengan bacaan 62.74m, selain Sungai Padas di Tenom, Sabah yang mencatat 176.47m.

Berita Harian X