Selasa, 4 Januari 2022 | 1:40pm
 Jalan Melaka-Negeri Sembilan di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai dibuka semula pagi ini selepas banjir surut sejak malam tadi. Foto/NSTP Hassan Omar
Jalan Melaka-Negeri Sembilan di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai dibuka semula pagi ini selepas banjir surut sejak malam tadi. Foto/NSTP Hassan Omar
Gambar Laluan Melaka-Negeri Sembilan di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai ketika ditutup akibat banjir Sabtu lalu. Foto/NSTP Hassan Omar
Gambar Laluan Melaka-Negeri Sembilan di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai ketika ditutup akibat banjir Sabtu lalu. Foto/NSTP Hassan Omar

Jalan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok Cina dibuka semula

MASJID TANAH: Jalan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok Cina, dekat sini dibuka semula mulai pagi ini berikutan banjir sudah surut sejak malam tadi.

Laluan penting menghubungkan kedua-dua negeri itu dinaiki air setinggi kira-kira satu meter sejak awal pagi Sabtu lalu berikutan hujan lebat pada malam Jumaat lalu.

Ia menyebabkan laluan di Bulatan Lubok Cina dan sempadan antara kedua-dua negeri di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai di Rembau, Negeri Sembilan hanya mampu dilalui kenderaan berat mulai Sabtu lalu hingga petang semalam.

Penduduk Lubok Cina, Edy Effandy Surani, 43, berkata dia melepasi laluan di sempadan kedua-dua negeri itu untuk ke bengkel keretanya di Kampung Nerambai, pagi ini.

"Alhamdulillah, air sudah surut sejak malam tadi dan pagi ini saya sudah boleh ke bengkel kereta. Sejak Sabtu lalu hingga semalam saya tidak dapat membuka bengkel kerana tidak dapat melepasi laluan yang dinaiki air setinggi satu meter," katanya ketika ditemui di pekan Lubok Cina, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi Sabtu lalu, pekan Lubok Cina dan beberapa kampung sekitarnya dilanda banjir selepas Sungai Rembau melimpah melepasi tebing.

Sementara itu, penduduk Kampung Telok Berembang, Yusof Hasan, 72, berkata dia tidak mampu membaiki rumahnya yang rosak teruk akibat banjir.

"Saya merayu kerajaan negeri membina rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) kerana rumah saya sudah rosak teruk akibat banjir besar pada 18 Disember lalu dan berulang lagi sekali pada Sabtu lalu," katanya.

Selain Kampung Telok Berembang, kampung lain yang turut dilanda banjir ialah Pengkalan Pauh dan Bangsal Atap.

Penduduk Kampung Telok Berembang, Yusof Hasan, 72, berkata dia tidak mampu membuat pembaikan rumahnya yang rosak teruk akibat banjir.

"Saya merayu kerajaan negeri membina rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) kerana rumah saya sudah rosak teruk akibat banjir besar pada 18 Disember lalu dan berulang lagi sekali pada Sabtu lalu," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jaafar Atan, berkata kawasan dilanda banjir di Lubok Cina sudah dilawati Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Beliau (Sulaiman) turut meninjau kerja membina semula benteng Sungai Rembau yang runtuh di Kampung Telok Berembang yang menyebabkan banjir besar pada 18 Disember lalu," katanya.

Selain itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah, ketika dihubungi berkata pihaknya mengambil langkah drastik menjalankan kerja pembaikan tebing sungai berkenaan.

Katanya, tebing sungai sepanjang 100 meter itu dibina semula kontraktor yang diberikan tanggungjawab oleh JPS bagi memastikan aliran sungai berkenaan tidak menyebabkan banjir di beberapa kampung di sekitar Lubok Cina.

Berita Harian X