Selasa, 4 Januari 2022 | 12:59pm

SPRM siasat isu tukar status kolam takungan banjir di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan, enam kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur diluluskan ditukar status untuk projek pembangunan.

Jurucakap SPRM memberitahu BH, siasatan mencakupi pelbagai aspek berkaitan kelulusan, termasuk dakwaan pembangunan terhadap lokasi terbabit, seperti yang dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.

"SPRM sudah memulakan siasatan berhubung aduan banjir dibangkitkan. Siasatan dijalankan meliputi dakwaan kolam tadahan air ditukar status untuk tujuan pembangunan," katanya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menggesa SPRM mengambil tindakan segera berhubung dakwaan, enam kolam takungan banjir di ibu kota ini, diluluskan ditukar status untuk pelaksanaan projek pembangunan, yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam terbabit.

Beliau dipetik sebagai berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti dan menyiasat dakwaan dibangkitkan itu.

Berita Harian X