Isnin, 3 Januari 2022 | 10:33pm
Keadaan banjir di Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Keadaan banjir di Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Mangsa banjir di Johor terus meningkat

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 4,737 orang daripada 1,282 keluarga di 71 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tujuh daerah setakat jam 8 malam tadi.

Ia berbanding hanya 4,278 mangsa daripada 1,130 keluarga di 70 PPS pada jam 4 petang tadi.

EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata Segamat terus menjadi daerah paling terjejas apabila mangsa banjir di daerah itu melonjak kepada 3,554 orang daripada 958 keluarga yang ditempatkan di 49 PPS, malam ini.

Beliau berkata, ia berbanding hanya 3,344 mangsa daripada 872 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS, petang tadi.

"Sebanyak 71 PPS dibuka di Johor dengan Segamat mencatatkan PPS paling banyak iaitu 49, diikuti Tangkak (lapan), Mersing (enam), Kota Tinggi dan Kluang masing-masing tiga, Muar (dua) dan Batu Pahat.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti SK Tambang di Spang Loy (312 mangsa daripada 98 mangsa) serta SK Batu Anam, Segamat (229 mangsa daripada 73 keluarga).

"Tangkak menjadi daerah kedua terjejas banjir dengan 297 mangsa daripada 79 keluarga di lapan PPS, manakala Mersing turut meningkat dengan 476 mangsa daripada 125 keluarga di enam PPS.

"Kota Tinggi pula merekodkan 210 mangsa banjir daripada 61 keluarga di tiga PPS, Kluang sebanyak 71 mangsa daripada 22 keluarga di sebuah PPS, manakala Batu Pahat 77 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Haji Kamisan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Muar yang menjadi daerah terbaru terjejas banjir di negeri ini mencatatkan 52 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS malam ini," katanya.

Berita Harian X