Ahad, 2 Januari 2022 | 8:43pm

Mangsa banjir Johor melonjak, 5 daerah kini terjejas

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini terus melonjak kepada 2,553 daripada 653 keluarga yang ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 malam ini.

Ia berbanding hanya 2,022 mangsa daripada 512 keluarga yang ditempatkan di 37 PPS, jam 4 petang tadi.

Johor Bahru dan Kluang menjadi daerah terbaharu banjir di negeri ini dengan pembukaan satu PPS di daerah ini manakala dua PPS di Kluang.

Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 113 daripada 36 keluarga di dua PPS malam ini, berbanding hanya 32 mangsa daripada 11 keluarga, petang tadi.

EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa banjir melonjak kepada 2,366 daripada 593 keluarga yang ditempatkan di 39 PPS, malam ini.

Ia berbanding hanya 1,950 daripada 491 keluarga yang ditempatkan di 34 PPS, petang tadi.

Vidyananthan berkata, mangsa banjir di Tangkak turut naik kepada 50 mangsa daripada 13 keluarga malam ini, berbanding 40 mangsa daripada 10 keluarga petang tadi.

Penduduk menaiki bot untuk pindah dari kediaman yang dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Penduduk menaiki bot untuk pindah dari kediaman yang dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Sebanyak 39 PPS dibuka di Segamat, sebuah di Tangkak dan dua di Kota Tinggi, dua di Kluang dan sebuah di daerah ini, berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca hujan berterusan.

"Antara kawasan yang terjejas banjir di Segamat termasuklah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.

"Turut terjejas banjir adalah kawasan Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira serta Taman Bintang selain Kampung Awat.

"Kawasan Kampung Jabi, Kampung Tengah,Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah, Kampung Sri Makmur, Bukit Tunggal, Mensudut Lama, FELDA Medoi, Gubah, Balai Badang, Pogoh Tengah, Lubuk Lanjut, Bukit Limau Manis, Padang Kiambang dan Merigi turut terjejas banjir di Segamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, kawasan di Tangkak yang terjejas banjir adalah Kampung Sri Makmur manakala Kota Tinggi membabitkan Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang dan Kampung Baru Mawai.

Sementara itu, beliau berkata hampir semua daerah di Johor diramalkan hujan berterusan petang ini.

"Antara kawasan yang diramal hujan oleh Met Malaysia adalah Segamat, Muar, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Kulai dan Tangkak manakala cuaca mendung di Pontian.

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

Keadaan sungai berhampiran Kampung Spang Loi, Segamat, Johor petang ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Keadaan sungai berhampiran Kampung Spang Loi, Segamat, Johor petang ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Bermula hari ini hingga Rabu depan fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Juraimi Hassan memindahkan barangan yang masih elok di kedai runcit miliknya di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Juraimi Hassan memindahkan barangan yang masih elok di kedai runcit miliknya di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X