Ahad, 2 Januari 2022 | 5:27pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

KPLB kumpul data untuk pelan dan kos pembaikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos membabitkan program dan kemudahan di bawah kendaliannya.

Ia merangkumi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, Taska, Tabika serta ameniti sosial lain seliaannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ketika ini, KPLB dan semua agensinya sedang melaksanakan kerja penilaian kerosakan yang dialami mangsa banjir, selain menjalankan kerja pembersihan membabitkan 3,000 sukarelawan di kawasan angkat kementerian di Bentong, Hulu Langat serta Banting.

"Antara peruntukan disalurkan KPLB adalah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir, RM15,000 bagi bantuan baik pulih rumah dan RM56,000 bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

"Selain itu, beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA), turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan, selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

"MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir kali ini.

"Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung penyewa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh itu dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini, sambil mengekalkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.

Beliau berkata, KPLB bersama lapan agensinya sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera, mengikut peruntukan sedia ada.

Antara agensi terbabit adalah MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Selain itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). - BERNAMA

Berita Harian X