Ahad, 2 Januari 2022 | 3:36pm
Sungai Segamat merekodkan paras air melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 9.22 meter setakat jam 3 petang ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Sungai Segamat merekodkan paras air melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 9.22 meter setakat jam 3 petang ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

15 sungai di empat negeri lepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 sungai di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka melebihi tahap bahaya setakat jam 3 petang ini.

Menerusi notifikasi aras air dan hujan terkini di Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), 13 daripada 15 sungai itu menunjukkan pola menaik, sekali gus berisiko menyebabkan banjir atau memburukkan lagi bencana itu.

Lima daripada enam sungai di Pahang menunjukkan pola menaik dengan aras airnya melebihi tahap bahaya seperti dicatatkan di stesen Paya Gintong dekat Jerantut melepasi tahap bahaya 45 meter (m).

Selain itu, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera melepasi paras bahaya 30.5m; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melebihi paras bahaya 28m, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Termerloh melebihi paras bahaya 14.9m; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh melebihi paras bahaya 40m.

Bagaimanapun, Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis menunjukkan trend penurunan walaupun tetap melepasi paras bahaya 65.5m.

Jadual bacaan aras sungai itu turut menunjukkan 10 sungai lain melebihi tahap amaran atau jingga, sementara tujuh lagi merekodkan peringkat waspada atau kuning.

Di Johor, empat daripada 18 stesen melepasi paras bahaya dan menunjukkan trend meningkat iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat serta Sungai Segamat 9.22m berbanding tahap bahaya kedua-duanya 9.14m.

Dua lagi stesen iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur pula mencatatkan bacaan lebih melebihi paras bahaya empat meter dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat mencatatkan bacaan lebih enam meter.

Selain itu, empat sungainya mencatatkan tahap melebihi amaran serta tiga yang lain melebihi tahap waspada.

Di Negeri Sembilan, tiga daripada lapan stesennya melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol mencatatkan bacaan lebih 33m, Sungai Gemencheh di Empang Sungai Dua, Tampil lebih 39m dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah lebih 63m.

Dua sungai lain merekodkan bacaan melebihi tahap amaran serta satu lagi sungai melebihi tahap waspada.

Di Melaka, dua daripada lima stesen aras sungai melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah dengan masing-masing merekodkan aras air melebihi 11.9m dan dua meter.

Dua lagi sungainya merekodkan bacaan melepasi tahap amaran dan satu sungai melebihi tahap waspada.

Seterusnya empat sungai di Kelantan dan tiga di Terengganu melepasi tahap bahaya, sementara masing-masing empat lagi sungai di kedua-kedua negeri ini melepasi tahap waspada.

Bagi Sarawak, dua sungainya melebihi tahap waspada, sementara satu daripada sembilan di Selangor menunjukkan trend aras air meningkat iaitu Sungai Jijan di di Taman Desa Merpati, Sepang.

Berita Harian X