Ahad, 2 Januari 2022 | 2:45pm

Jemaah sedih umrah ditangguhkan

BACHOK: Penangguhan umrah buat sementara waktu oleh kerajaan semalam, nyata memberi kesedihan kepada seorang ibu tunggal dari Kampung Jenerak Tawang, di sini.

Asiah Mat Zain, 57, berkata sebaik mengetahui berita itu kira-kira jam 10 pagi semalam dia berasa hiba dan hanya mampu menangis serta tidak dapat melelapkan mata.

"Dari pagi hingga ke malam, saya hanya mengenangkan mengenai penangguhan itu dan setiap kali orang datang bertanya saya akan menangis.

"Namun, anak-anak dan ahli keluarga memberi sokongan dan memujuk supaya saya bersabar dengan ujian itu kerana mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi. Saya sepatutnya berlepas ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah pada 17 hingga 28 Januari ini dengan ditemani adik, Raziah, 55.

"Namun, impian saya untuk ke sana terpaksa ditangguhkan berikutan penularan COVID-19. Walaupun ia menyedihkan, saya reda demi keselamatan dan kesihatan diri memandangkan saya mempunyai beberapa penyakit, termasuk darah tinggi, kencing manis dan saraf," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia sudah membuat persiapan bermula awal November lalu, termasuk membeli barangan kelengkapan untuk ke Makkah.

"Saya juga sudah mengambil suntikan dos penggalak COVID-19 sebagai persediaan menunaikan umrah serta sudah habis kursus (umrah) secara dalam talian.

"Sebaik mengetahui sempadan dibuka dan rakyat Malaysia dibenarkan menunaikan umrah, adik saya yang bersetuju menaja terus membuat bayaran pakej berjumlah lebih RM9,000.

"Saya teruja dan gembira untuk ke Makkah memandangkan ia adalah kali pertama dan sudah dirancang lebih dua tahun lalu iaitu sebelum wabak COVID-19 melanda dunia.

"Namun, kali ini lebih sedih kerana saya sekali lagi perlu menangguhkan untuk ke Makkah kerana COVID-19 yang merebak, selain berharap ia (penangguhan) hanyalah sementara dan dapat menunaikan umrah sebelum Aidilfitri nanti," katanya.

Kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Asiah menunjukkan persiapan yang dibuatnya untuk menunaikan ibadah umrah ketika ditemui di
Asiah menunjukkan persiapan yang dibuatnya untuk menunaikan ibadah umrah ketika ditemui di
Berita Harian X