Ahad, 2 Januari 2022 | 11:14am

Dua sungai Johor lepasi paras bahaya

SEGAMAT: Dua sungai di Johor, masing-masing satu di Segamat dan Muar, melepasi paras bahaya, setakat jam 10 pagi tadi.

Menerusi jadual bacaan aras sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Sungai Segamat di bandar Segamat, melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.34 meter (m) berbanding paras bahaya 9.14 m.

Sungai Muar di Kampung Awat, Muar turut melepasi paras bahaya apabila merekodkan paras 21.79 m berbanding paras bahaya 19.95 m.

Sungai Buloh Kasap di Segamat, melepasi paras amaran dan menghampiri paras bahaya apabila merekodkan bacaan 8.97 m berbanding paras bahaya 9.14 m, dengan trend menaik pantas akibat hujan lebat berterusan.

Sementara itu, mangsa banjir di Johor melonjak kepada 1,646 mangsa daripada 425 keluarga, yang ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi tadi.

Ia berbanding 1,167 mangsa daripada 310 keluarga, yang ditempatkan di 20 PPS, jam 4 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,615 daripada 418 keluarga, yang ditempatkan di 27 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.

Keadaan terkini Sungai Segamat, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini Sungai Segamat, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X