Sabtu, 1 Januari 2022 | 2:36pm
Laluan di Kampung Shukor, Dungun dinaiki air. - Foto ihsan Polis
Laluan di Kampung Shukor, Dungun dinaiki air. - Foto ihsan Polis

Jumlah mangsa banjir di empat negeri meningkat, dua kekal

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di empat negeri terus mencatatkan peningkatan sementara jumlah mangsa di dua negeri kekal manakala sebuah negeri merekodkan penurunan setakat tengah hari ini.

Di JOHOR, daerah yang terjejas banjir iaitu Segamat merekodkan peningkatan mendadak mangsa kepada 658 orang daripada 192 keluarga setakat 12 tengah hari ini berbanding 456 orang daripada 133 keluarga pagi tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan, sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam menjadikan PPS yang dibuka kini sebanyak sembilan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Balai Raya Kampung Lembah Bakti telah pun ditutup dengan kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, manakala SK Kampung Tenang adalah PPS yang dihuni paling ramai mangsa iaitu 223 orang daripada 73 keluarga.

Sebanyak 10 kampung terjejas banjir di daerah itu melibatkan Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Lenga, Kampung Paya Lebar, Kampung Gelang Chinchin, Kampung Tenang, Kampung Sedeng dan Kampung Paya Lang.

Sementara itu, beliau berkata tiga sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat yang kini mencatatkan bacaan 9.17 meter (m); Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat pada paras 20.34 m dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak, mencatatkan aras air pada 4.31 m.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit tengah hari ini, kepada 2,161 orang di 34 PPS di tujuh daerah berbanding 2,030 pagi tadi.

Selain Raub yang kembali dilanda banjir hari ini, Lipis juga dinaiki air semula menyebabkan dua PPS dibuka pagi ini bagi menempatkan 50 mangsa.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Serting di Bera, Sungai Luit di Maran dan Sungai Kechau di Lipis.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah terus meningkat kepada 382 mangsa membabitkan 100 keluarga pada 12 tengah hari ini berbanding 96 mangsa daripada 29 keluarga pukul 10 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di enam PPS iaitu di Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China dan SK Belimbing Dalam.

Di NEGERI SEMBILAN, APM negeri memaklumkan mangsa banjir meningkat kepada 239 individu daripada 66 keluarga yang berada di 11 PPS setakat 12 tengah hari.

Sementara itu, data terkini menerusi laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan paras air sungai pada tahap bahaya iaitu Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Serting di Kampung Datok Johan, Jempol.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 451 orang daripada 128 keluarga tengah hari ini dan kesemua mereka masih berada di empat PPS di dua daerah di negeri ini.

Jumlah mangsa di Dungun sebanyak 408 orang daripada 120 keluarga di tiga PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda (18 orang, lima keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Shukor (225 orang, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (165 orang, 55 keluarga), manakala Kemaman hanya satu PPS iaitu surau Kampung Ban Ho (43 mangsa, lapan keluarga) dibuka.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 504 mangsa daripada 167 keluarga di Kota Marudu tengah hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu PPS SMK Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga manakala PPS SK Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di KELANTAN menurun setakat 12 tengah hari, apabila seramai 482 orang daripada 154 keluarga dicatatkan berbanding 1,129 orang daripada 363 keluarga, pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan dua jajahan iaitu sembilan di Kuala Krai dan satu di Jeli.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan tiada PPS yang aktif setakat ini.

Polis Selangor memaklumkan tiga jalan masih ditutup setakat 10 pagi tadi untuk laluan kenderaan iaitu di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang kerana dinaiki air banjir selain jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir. – BERNAMA

Berita Harian X