Sabtu, 1 Januari 2022 | 12:55pm
Permandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan berikutan limpahan air Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Permandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan berikutan limpahan air Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Tiga sungai di Pahang lepasi paras bahaya

KUANTAN: Tiga sungai di Pahang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, masing-masing satu di daerah Lipis, Bera dan Maran, setakat jam 12 tengah hari ini.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai terbabit ialah Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis, yang merekodkan bacaan 83.26 meter berbanding paras bahaya 82.50 m.

Ia diikuti Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, dengan catatan 31.20 m berbanding paras bahaya 30.50 m, manakala Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran merekodkan 28.33 m berbanding 28 m.

Selain itu, beberapa sungai di sekitar negeri itu mencatatkan bacaan melebihi paras amaran.

Ia membabitkan Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis; Sungai Lipis, di Benta, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut.

Selain itu, Sungai Lipis di Batu Malim; Raub; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Lepar di Jabatan Gelugor, Kuantan.

Sebanyak sembilan sungai pula melepasi paras waspada, antaranya Sungai Jelai di Bukit Betong, Jerantut; Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka, Maran dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

Berita Harian X