Sabtu, 1 Januari 2022 | 12:02pm
Penduduk memerhati peningkatan paras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Penduduk memerhati peningkatan paras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Empat sungai di Terengganu masih melepasi paras amaran

DUNGUN: Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan empat sungai di Terengganu masih melepasi paras amaran.

Sehingga jam 11 pagi tadi, empat sungai yang direkodkan melepasi paras amaran adalah dua di daerah Dungun serta masing-masing satu di Besut dan Setiu.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai di Dungun yang melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Kuala Jengai masing-masing mencatatkan bacaan 36.78 meter (m) berbanding paras normal 34.5m dan 20.37m.

Selain itu, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut kini direkodkan pada bacaan 34.32m berbanding paras normal 28.5m.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap berada pada paras 20.04m turut direkodkan melepasi paras amaran.

Sementara itu tujuh sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras waspada.

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatatkan bacaan 17.84m, manakala Sungai Besut di Kampung La, Besut merekodkan bacaan 19.92 m.

Di Setiu, dua sungai yang melepasi paras waspada iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Kampung Besut masing-masing dengan bacaan 11.48m dan 16.26m.

Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun diJambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Kedua-duanya sungai itu direkodkan berada pada paras 10.84m dan 17.69m.

Turut melepasi paras waspada adalah Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman , Kemaman dengan bacaan 3.28m.

Berita Harian X