Sabtu, 1 Januari 2022 | 9:33am
Limpahan air Sungai Kelantan memutuskan jalan yang menghubungkan Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh, ketika tinjauan Bernama semalam.
Limpahan air Sungai Kelantan memutuskan jalan yang menghubungkan Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh, ketika tinjauan Bernama semalam.

Paras air 10 sungai di 5 negeri melebihi tahap bahaya

KUALA LUMPUR: Sejumlah 10 sungai di lima negeri iaitu Pahang, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan paras air melebihi tahap bahaya pagi ini, susulan hujan berterusan sejak semalam.

Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan sekurang-kurangnya paras air di lapan daripada 10 sungai itu masih menunjukkan pola meningkat, sekali gus berisiko menyebabkan banjir atau memburukkan lagi bencana itu.

Di Pahang, tiga sungai di Bera, Raub dan Lipis melepasi paras bahaya dengan dua daripadanya masih meningkat, antaranya Sungai Serting di Jam Padang Gudang, Bera menunjukkan sungai itu berada pada paras 30.94 meter, melebihi paras bahaya 30.5 meter dengan trend menaik.

Selain itu, Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis berada pada paras 82.62 meter, melebihi paras bahaya 82.5 meter dan terus meningkat, manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub mencatat 115.15 meter (paras bahaya 114.8 meter), namun sudah mula menurun.

Di Johor, dua sungai melebihi paras bahaya dengan kedua-duanya masih menaik, iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat yang mencatat 20.2 meter (paras bahaya 19.95 meter), serta Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak yang mencatat 4.16 meter (paras bahaya empat meter).

Satu sungai di Kelantan turut mencatat paras air melebihi tahap bahaya, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai yang mencatat 25.21 meter (paras bahaya 25 meter) namun kini dalam trend menurun.

Dalam pada itu, tiga sungai di Jempol dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan sudah melebihi paras bahaya dengan dua daripadanya masih terus meningkat, manakala satu lagi tiada perubahan.

Aras air Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah yang mencatat bacaan 63.9 meter melebihi paras bahaya 63 meter, selain Sungai Serting di Kampung Datok Johan, Jempol yang mencatat paras 74.75 meter (paras bahaya 74.5 meter).

Satu lagi sungai adalah Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol mencatat bacaan 35.66 meter melebihi paras bahaya 33 meter, dengan tiada perubahan pada peningkatan atau penurunan paras air.

Melaka pula merekodkan satu sungai melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah yang mencatat 2.58 meter melebihi paras bahaya dua meter), dan masih mencatat peningkatan.

Dalam pada itu, 16 sungai di tujuh negeri sudah melebihi tahap amaran, iaitu lima di Pahang, dua di Johor, dua di Kelantan, dua di Negeri Sembilan, dua di Melaka, satu di Sarawak dan dua di Terengganu.

Paras air di 10 sungai daripadanya masih mencatat pola menaik, iaitu Paya Gintong di Jerantut, Sungai Triang di Bentong dan Sungai Luit di Maran, Pahang; Sungai Lenik di Segamat dan Sungai Segamat di Segamat, Johor; dan Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.

Selain itu, Sungai Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan; Cheng di Melaka Tengah, Melaka; Long Teru di Miri, Sarawak dan Sungai Dungun di Dungun, Terengganu.

Berita Harian X