Sabtu, 1 Januari 2022 | 9:13am
Beberapa remaja masih bermain air meskipun tiupan angin kencang dan laut bergelora menyebabkan Pantai Teluk Cempedak dihempas ombak kuat ketika tinjauan fotoBERNAMA semalam.
Beberapa remaja masih bermain air meskipun tiupan angin kencang dan laut bergelora menyebabkan Pantai Teluk Cempedak dihempas ombak kuat ketika tinjauan fotoBERNAMA semalam.

Mangsa banjir di Pahang menurun kepada 2,161 orang

KUANTAN: Seramai 2,161 mangsa banjir daripada 668 keluarga masih berada di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini, sehingga 8 pagi tadi.

Ia menunjukkan penurunan berbanding semalam dengan 2,489 mangsa banjir daripada 783 keluarga di 33 PPS di lima daerah di negeri ini direkodkan sehingga 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata Pekan merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 939 orang, diikuti Temerloh 711 orang, Kuantan (364 orang), Bentong (92 orang) dan Maran (89 orang).

Katanya, sebanyak sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jerantut.

"Turut ditutup Jalan Sungai Lembing, Kuantan; Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Maran; Jalan Bentong-Gua Musang, Lipis; Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Paya Luas-Perlok di Temerloh.

"Sebanyak 21 kes kematian akibat banjir direkodkan di Pahang setakat ini iaitu 11 di Bentong, Temerloh (empat), Kuantan (tiga) dan Raub (dua) serta satu lagi di Pekan," katanya.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Sungai terbabit ialah Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis; Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera.

Sungai Lipis di Benta, Lipis; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran.

Sebanyak 14 sungai pula melepasi paras waspada termasuk Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan.

Berita Harian X