Jumaat, 31 Disember 2021 | 12:50pm
Foto ihsan Facebook SWCorp Wilayah Persekutuan
Foto ihsan Facebook SWCorp Wilayah Persekutuan

Pascabanjir KL: 631.6 tan sisa pukal selesai dikutip

KUALA LUMPUR: Sebanyak 631.6 tan sisa pukal kesan banjir telah dikutip sejak 20 Disember lalu di 14 kawasan terbabit bencana alam itu di sekitar ibu kota, melalui Operasi Pembersihan Pascabanjir Kuala Lumpur.

Kawasan terbabit ialah Kampung Kasipillay, Kampung Pasir, Kolam Air, Petaling Bahagia, Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Hock An, Tiong Nam, Masjid Jamek, Jalan Ipoh, Jalan Raja dan Jalan Tun Perak, Jalan Putra, Jalan Tun Razak serta Jalan Pahang.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib, berkata proses pembersihan sisa kesan banjir di kawasan terbabit sudah siap 100 peratus.

"Semua sisa pukal yang dikeluarkan itu akan dikutip mengikuti jadual operasi biasa oleh Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

"Ia kemudian diangkut ke Stesen Pemindahan Kuala Lumpur (KLTS) di Taman Beringin, lalu dikompakkan ke dalam 'prime mover' atau dimuatkan ke 'super roro' sebelum dihantar ke Tapak Pelupusan Bukit Tagar," katanya.

Ummi Kalthum berkata, pihaknya juga terpaksa meminta bantuan daripada Balai Polis Cheras, semalam, bagi mengeluarkan kira-kira satu tan sisa sampah yang disimpan pemilik sebuah rumah sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya dijangka mengeluarkan kira-kira dua tan lagi sampah dari rumah terbabit, hari ini, dengan menggunakan dua tong roro dan satu 'open tipper'.

"Jika penduduk di ibu kota mendapati ada sisa tidak dikutip mengikut jadual, mereka boleh memaklumkan perkara itu melalui talian 03-22459292," katanya.

Bagi pihak swasta pula, beliau berkata, ia tertakluk kepada Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian Dan Keinstitusian 2018 (CII).

"Pihak berkenaan yang terjejas dengan banjir perlu memastikan sisa banjir turut diangkut oleh pengutip sisa yang dilesenkan," katanya.

Ummi Kalthum sekali gus menasihati orang ramai supaya mengubah sikap dengan tidak lagi membuang sampah merata-rata, sebaliknya hanya membuang sampah ke dalam tong disediakan bagi memudahkan urusan kutipan.

"Ini termasuk tidak mencampurkan sisa dan mula membuat pengasingan kerana daripada membiarkan sisa dihantar ke tapak pelupusan, kita boleh berubah menjadi 'Gen-Re' atau generasi yang mengitar semula," katanya.

Beliau berkata, penduduk Wilayah Persekutuan wajib melaksanakan pengasingan di punca (separation at source) (SAS).

Katanya, SWCorp akan memeriksa semua rumah dan kawasan badan pengurusan bersama (JMB) di rumah tidak bertanah bagi memastikan SAS dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Kompaun SAS akan dikenakan jika penduduk tidak mengikut peraturan," katanya.

Dalam pada itu, Ummi Kalthum berkata, penduduk yang kehilangan tong sampah hijau kerana dihanyutkan banjir, perlu melaporkannya kepada SWCorp Wilayah Persekutuan dengan segera.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian 03-22459292 atau menghantar pesanan di talian 019-4460300 atau 016-8655313.

Berita Harian X