Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:41am

4 sungai di Terengganu melepasi paras amaran

KUALA TERENGGANU: Paras empat sungai di Terengganu merekodkan melepasi amaran manakala tujuh lagi berada pada tahap waspada.

Sehingga jam 10 pagi tadi, empat sungai yang direkodkan melepasi paras amaran adalah dua di daerah Dungun serta masing-masing satu di Besut dan Setiu.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut yang melepasi paras amaran kini merekodkan bacaan 34.60 meter (m) berbanding paras normal 28.5 m.

Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu kini berada pada paras 20.16 m berbanding paras normal 17 m.

Dua lagi sungai di Dungun iaitu Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Kuala Jengai masing-masing mencatatkan bacaan 36.84 m dan 20.74.

Sementara itu tiga sungai di Setiu direkodkan melepasi paras waspada.

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatatkan bacaan 18.41 m manakala Sungai Besut di Kampung La, Besut merekodkan bacaan 20.7 m.

Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho, Kemaman.

Kedua-duanya sungai itu direkodkan berada pada paras 10.08 m dan 17.95 m.

Terdahulu amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka melanda tiga negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga hari ini.

Berita Harian X