Khamis, 30 Disember 2021 | 6:43pm
Azwan Omar, 29, bersama kereta yang dibawa dalam misi menyelamat mangsa banjir. - Foto NSTP / Nuraliawati Sabri
Azwan Omar, 29, bersama kereta yang dibawa dalam misi menyelamat mangsa banjir. - Foto NSTP / Nuraliawati Sabri

'Saya tak mahu viral begini'

ALOR GAJAH: "Andai kata dapat diundurkan masa, tidak mahu jadi seperti ini kerana amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh orang ramai terlalu tinggi, saya khuatir tidak mampu untuk membawanya," itu kata Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva.

Menurut Azwan, 29, niatnya sepanjang 10 hari turun membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang bukan untuk meminta balasan mahupun penghargaan sebaliknya dilakukan atas dasar ikhlas ingin membantu mereka yang ditimpa musibah.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, keputusan untuk pergi membantu mangsa banjir dibuat secara spontan dan selepas meminta izin daripada orang tuanya dia terus bertolak dari Melaka ke Puchong.

"Apabila terbaca ramai mangsa banjir terkandas terus terdetik kenapa saya yang mempunyai bot tidak turun membantu menyelamatkan nyawa dan daripada situ saya membuat keputusan untuk pergi membantu apa yang termampu.

"Perancangan awalnya saya ke Puchong hanya untuk sehari sahaja tetapi apabila melihat keadaan yang teruk saya kemudian ubah fikiran untuk terus menyambung misi menyelamat serta membantu lebih ramai lagi dan Alhamdulillah urusan cuti turut dipermudahkan," katanya ditemui dirumahnya di Taman Sri Pengkalan Indah, di sini.

Azwan Omar, 29, memeriksa enjin yang dibawa bersama bagi misi membantu menyelamat mangsa banjir. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri
Azwan Omar, 29, memeriksa enjin yang dibawa bersama bagi misi membantu menyelamat mangsa banjir. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri

Menurutnya, sumbangan daripada bot kecilnya tidaklah seberapa berbanding dengan individu lain yang turut turun sama membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

"Kalau difikirkan sumbangan saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan orang lain. Ada yang saya kenal sanggup datang dari Pulau Pinang dan sewa lori untuk membawa bot nelayan bagi membantu mangsa banjir.

"Sepanjang misi ini walaupun kami 'team rescue' tidak saling mengenali, kami semua saling bekerjasama dan membantu menyelamatkan mereka yang terkandas," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, pengalaman sepanjang misi menyelamat mangsa banjir adalah sesuatu yang amat berharga dan meninggalkan kesan mendalam buat dirinya kerana tidak pernah terfikir akan berdepan situasi getir seperti itu.

"Sebenarnya saya tidak ingat berapa ramai mangsa yang saya selamatkan tetapi apa yang amat menyedihkan ketika menyelamatkan bayi baru lahir dan ibunya yang berada di atas bumbung, mujurlah mereka selamat. Apa yang membuatkan hati tersentuh apabila mendengar jeritan meminta tolong ketika memasuki kawasan banjir.

"Kerja menyelamat juga agak mencabar dan menyentuh emosi apabila kami perlu 'pisahkan' ahli keluarga kerana situasi ketika itu perlu dahulukan warga emas dan kanak-kanak. Ketika itu saya terfikir kalaulah situasi itu berlaku kepada keluarga sendiri," katanya.

Sepanjang misi menyelamatkan itu dia hanya berehat dan tidur setengah atau sejam sahaja bakinya dihabiskan membawa keluar seberapa ramai mangsa yang terperangkap.

"Selepas ini, andai kata situasi sama berlaku lagi insya-Aallah saya akan bergerak sama seperti ini kerana orang ramai sudah memberikan kepercayaan dan amanah untuk saya," katanya.

Berita Harian X