Khamis, 30 Disember 2021 | 10:38am
Antara situasi banjir. - Foto NSTP
Antara situasi banjir. - Foto NSTP

Bah besar penutup 2021

KUALA LUMPUR: Bencana alam termasuk banjir besar yang melanda beberapa negeri sehingga meragut hampir 50 nyawa dan lima lagi dilaporkan hilang, mengakhiri 2021 yang turut menyaksikan rakyat bersatu hati serta bangkit untuk saling membantu selari dengan semangat Keluarga Malaysia.

Jumlah 48 korban (setakat 27 Disember lalu) dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia.

Banjir besar kali ini tidak dijangka apabila ia melanda Lembah Klang, khususnya Selangor yang padat dengan penduduk, sehingga rakyat dari serata pelosok negara berusaha menabur bakti menghulurkan bantuan.

Hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang, serta Bentong, Mentakab dan Temerloh di Pahang 'tenggelam.'

Kesannya ibarat dilanda tsunami, puluhan ribu mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan puluhan keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras, manakala ribuan kenderaan pula terdampar serta musnah selepas ditenggelami banjir.

Lazimnya pada setiap hujung tahun, Monsun Timur Laut membawa banjir ke negeri Pantai Timur tetapi bencana alam kali ini membuat kejutan dengan 'membadai' Lembah Klang, kawasan yang sebelum ini hanya mengalami banjir kilat.

Kejutan itu bukan sekadar dirasai penduduk di Lembah Klang yang nyata tidak bersedia menghadapi bencana alam itu, malah pihak yang terbabit dalam pengendalian bencana juga pada awalnya kelihatan agak 'kelam-kabut.'

Tempoh 48 jam pertama bencana melanda menyaksikan keadaan 'huru-hara' dalam kalangan agensi berkaitan yang seolah-olah hilang arah apabila suara meminta bantuan dari segenap pelosok Lembah Klang menghujani media sosial.

Ibarat kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara pada tengah malam 18 Disember lalu: "Situasi di Selangor agak kelam-kabut memandangkan negeri ini biasanya tidak terjejas apabila tiba musim tengkujuh."

Pasukan keselamatan meliputi bomba, tentera dan polis bertindak segera serta bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan terjejas teruk seperti Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Taman Sri Muda di Shah Alam dan Bukit Changgang di Kuala Langat.

Pada tengah malam 18 Disember lalu, koordinasi dilakukan dan Perdana Menteri meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan lebih banyak aset, dengan fokus utama adalah menyelamatkan nyawa dan memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa banjir yang terperangkap.

Taburan hujan pada 18 Disember lalu di Lembah Klang adalah melebihi purata hujan sebulan. Keadaan itu menyaksikan lima juta padu air banjir dilencongkan daripada memasuki Kuala Lumpur melalui Terowong SMART dalam usaha mengurangkan impak banjir di ibu negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata lencongan SMART yang mula diaktifkan hingga Mod 4 pada jam 7.45 malam itu, adalah kali pertama proses berkenaan dijalankan melebihi tiga jam sejak ia dibina pada 2007.

Secara keseluruhan, banjir yang melanda lapan negeri meliputi Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur itu menjejaskan 116,273 orang daripada 31,949 keluarga.

Selain itu, kejadian tanah runtuh dilaporkan di beberapa lokasi, antaranya Karak yang menyebabkan ramai pengguna jalan raya terperangkap serta terpaksa diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Kejadian itu turut menyebabkan ada destinasi peranginan di Janda Baik berubah menjadi lokasi bencana, termasuk sebuah pusat peranginan di kawasan itu musnah dilanda 'kepala air' menyebabkan tiga penghuni menjadi mangsa dengan dua daripadanya ditemukan maut dan seorang masih hilang.

Bangkit daripada kejutan bencana banjir besar itu, pelbagai pihak sama ada orang perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh pelosok negara, tampil menghulurkan bantuan dari segi keperluan asas serta pembersihan pascabanjir.

Bagi meringankan beban mangsa, kerajaan mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak serta Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan meliputi pembiayaan kewangan tanpa faedah atau keuntungan hingga RM5,000 menerusi Bank Simpanan Nasional dan memperuntukkan RM30 juta bagi Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional.

Koperasi yang terjejas pula dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, hingga RM30,000. – BERNAMA

Berita Harian X