Rabu, 29 Disember 2021 | 8:12pm
Antara gambar dirakamkan Dr Ibrahim Komoo ketika tinjauan lapangan terhadap banjir kayu kayan yang membadai pekan Karak, baru-baru ini.
Antara gambar dirakamkan Dr Ibrahim Komoo ketika tinjauan lapangan terhadap banjir kayu kayan yang membadai pekan Karak, baru-baru ini.

'Banjir kayu landa Karak akibat runtuhan bukit besar'

KUALA LUMPUR: Banjir lumpur bersama kayu hanyut yang melanda sekitar Bentong, Pahang khususnya kawasan Karak baru-baru ini, bukanlah terdiri daripada kayu balak, sebaliknya ia adalah kayu kayan yang juga sebahagian daripada puing akibat runtuhan bukit besar ketika hujan lebat.

Pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata dapatan itu adalah berdasarkan tinjauan dibuatnya sendiri di lapangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kayu kayan itu adalah hasil runtuhan bukit sebelum dihanyutkan sungai ketika hujan lebat dan tersangkut di jambatan seperti yang tular di media sosial.

"Saya tidak nampak bukti kayu kayan itu hasil proses pembalakan kerana jika kayu kayan yang terdampar itu hasil pembalakan, pasti ia bersaiz besar dan mempunyai tanda sudah dipotong.

"Kayu-kayan itu tersadai di suatu kawasan dan terkepung oleh jambatan dan apabila air mulai surut, ia membentuk satu lapangan puing yang sangat besar.

"Ia bukannya kayu yang dipotong sebagai balak, kebanyakan kayunya adalah kecil bersama akar, anak pokok yang halus dan hancur, sekali gus bermaksud tak mungkin ia dari kawasan balak.

"Kayu balak tidak akan disimpan di suatu tempat bagi tempoh lama, sebaliknya sudah tentu ia dibawa ke kilang," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas gesaan 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan supaya kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di pekan Karak.

Pada masa sama, Dr Ibrahim berkata, jumlah kayu yang begitu banyak itu menunjukkan kebesaran kuasa Tuhan yang jauh mengatasi manusia.

Katanya, situasi yang berlaku itu adalah hasil alam yang bencananya mungkin ribuan kali ganda daripada keupayaan manusia membalak.

"Dalam masa sekelip mata sahaja, cerun bukit besar yang mengandungi kayu kayan diruntuhkan.

"Bahan runtuhan dihanyutkan oleh air banjir, tersangkut di jambatan, dan terdampar di situ ketika air mulai surut," katanya.

Beliau berkata, bencana alam yang berlaku bukan sekadar 'banjir besar', sebaliknya adalah proses geologi berantai.

Katanya, ia bermula dengan gelinciran tanah di kawasan cerun gunung atau bukit, diikuti dengan aliran puing, banjir puing dan berakhir dengan banjir lumpur.

"Maklumat begini penting untuk mengenali, apakah yang sebenarnya berlaku di kawasan anda dan bagaimana cara terbaik untuk mengurangkan risiko bencana," katanya.

Berita Harian X