Selasa, 28 Disember 2021 | 9:32pm
Anggota terpaksa dipanggil untuk memadamkan kebakaran sampah pukal pasca banjir di kawasan MPK sekali gus melambatkan proses pembersihan - Foto NSTP/Ihsan MPK
Anggota terpaksa dipanggil untuk memadamkan kebakaran sampah pukal pasca banjir di kawasan MPK sekali gus melambatkan proses pembersihan - Foto NSTP/Ihsan MPK

Bakar sampah pukal melambatkan proses pembersihan

KLANG: Orang ramai diminta tidak membakar sampah pukal pasca banjir kerana ia melambatkan proses pembersihan dan mencemarkan alam sekitar.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata MPK mengesan enam lokasi pembakaran terbuka sampah pukal membabitkan empat di daerah Klang Utara, dua di Klang Selatan.

"Lokasi di Klang Utara adalah Jalan Pasar Malam, Bukit Kapar; Jalan Cempakasari 1, Taman Cempakasari; Lintang Sungai Keramat 6B, Taman Klang Utama dan Jalan Sungai Keramat 6, Taman Klang Utama.

"Di lokasi Klang Selatan pula membabitkan Jalan Kebun Nenas, Taman Sentosa dan Jalan Ikan Bawal, Telok Gong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memadamkan api terlebih dulu sebelum sampah pukal boleh diangkut dan ia melambatkan proses pembersihan.

Katanya, MPK dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang berusaha untuk melaksanakan pembersihan dan orang ramai diminta bersabar.

"Kami menyeru penduduk tidak membakar sisa pukal banjir ini kerana ia akan menyebabkan isu lain seperti pencemaran alam sekitar.

"Selain itu, sekiranya sampah pukal ini dibakar, ia akan melambatkan lagi proses kutipan sisa berkenaan kerana operasi pemadaman di lokasi perlu dibuat terlebih dahulu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Justeru, MPK berharap agar semua penduduk dapat bersabar kerana pihak majlis sedang bekerja keras untuk memastikan sampah pukal di kawasan mangsa terjejas dapat dikutip dengan segera," katanya.

Katanya, hari ini MPK dibantu anggota ATM dari Kem Tapah, Perak membersihkan sampah pukal yang dilonggokkan.

Katanya sebanyak 53 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditutup pada 26 Disember lalu

Katanya semua mangsa banjir sudah kembali ke kediaman masing-masing, manakala MPK kini menumpukan kepada usaha pasca banjir terutamanya pembersihan sampah pukal.

Berita Harian X