Selasa, 28 Disember 2021 | 7:02pm

Kerajaan negeri arah siasat banjir bercampur batang kayu hanyut di Karak

PEKAN: Jabatan Perhutanan Pahang diarah menyiasat dan memberikan laporan berkaitan banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di Sungai Telemong dekat Karak yang menjadi punca banjir di kawasan berkenaan pada 18 Disember lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jabatan terbabit diarah turun padang menyiasat kemungkinan ada pembalakan haram di kawasan hilir sungai dan bagaimana batang kayu dihanyutkan begitu banyak ke Sungai Telemong.

"Ada banyak dakwaan (mengenai pembalakan haram dan penerokaan hutan) dan Jabatan Perhutanan sudah memulakan penyiasatan untuk mengesahkannya. Saya minta mereka hantar laporan terperinci mengenai dakwaan itu.

"Semua pihak diminta menunggu hasil siasatan dan tidak membuat sebarang kesimpulan atau andaian. Saya tidak menetapkan tempoh (siasatan) tetapi biarkan jabatan berkenaan menyiasat," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Ubai di sini hari ini.

Menteri Besar diminta mengulas gesaan pelbagai pihak supaya siasatan dilakukan kerana ribuan batang kayu hanyut memasuki Sungai Telemong dekat Karak dan mengakibatkan banjir besar di sekitar kawasan berkenaan yang menimbulkan tanda tanya.

Wan Rosdy berkata beliau tidak mendesak jabatan supaya mempercepatkan siasatan berikutan keadaan cuaca tidak dijangka pada masa ini.

"Mereka perlu masuk ke tapak untuk menyiasat dan ia tidak mudah kerana cuaca pada masa ini sukar dijangka. Keselamatan mereka tidak boleh dikompromi, mereka diberi masa yang cukup untuk menghantar laporan itu," katanya.

Hari ini, 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu hanyut di pekan Karak di Bentong, minggu lalu.

Batang kayu hanyut memenuhi Kampung Sri Telemong, Karak selepas banjir surut semalam - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Batang kayu hanyut memenuhi Kampung Sri Telemong, Karak selepas banjir surut semalam - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X