Selasa, 28 Disember 2021 | 2:53pm

Persediaan banjir, KPDNHEP hantar sumbangan ke Pantai Timur

KAJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) dengan kerjasama rakan strategik utama Program Food Bank Malaysia akan memperluaskan bantuan di luar Lembah Klang.

Berikutan itu, sumbangan barangan keperluan akan digerakkan ke Pantai Timur sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Timbalannya, Datuk Rosol Wahid, berkata setakat hari ini, lebih 5,000 keluarga menerima sumbangan yang diagihkan di kawasan dilanda banjir, terutama di Lembah Klang dan Bentong, Pahang.

"Program Food Bank Malaysia untuk bantu mangsa banjir ini digerakkan sejak 19 Disember lalu, khususnya di Lembah Klang, tetapi kita akan kembangkan di Pantai Timur mulai hari ini kerana dijangkakan hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Jadi, persiapan awal sedang dibuat untuk pastikan mereka yang terkesan termasuk penduduk miskin menerima barangan keperluan seperti minuman, makanan, bantal dan tikar sebelum keadaan lebih teruk," katanya ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan untuk mangsa banjir di Gudang Foodbank Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AlManjie, Zuwairi Japri Al-Manjie.

Rosol berkata, pihaknya juga berhasrat mempelbagaikan bentuk bantuan dan memberikan sumbangan perabot susulan ramai keluarga kehilangan harta benda susulan kelengkapan rumah hanyut, rosak dan tidak boleh digunakan.

"Insya-Allah kita sedang berusaha dan jika tiada aral, sumbangan berupa perabot seperti tilam (akan diberikan).

"Ini pun hasil sumbangan orang ramai termasuk rakan kerjasama termasuk syarikat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan perniagaan.

"KPDNHEP sebagai koordinator program ini berharap lebih ramai tampil menghulurkan bantuan antaranya dengan menghantar sumbangan terus pusat penyimpanan dan pengagihan Food Bank Malaysia KPDNHEP di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, Rosol menerima sumbangan 40,000 botol minuman daripada Etika Sdn Bhd untuk mangsa banjir di seluruh Malaysia dan diagihkan melalui Yayasan AlManjie iaitu rakan strategik utama bagi Program Sektetariat Foodbank Malaysia.

Dalam pada itu, Rosol ketika mengulas isu kenaikan harga barangan keperluan susulan ada peniaga yang mengambil kesempatan disebabkan situasi banjir, memaklumkan pihaknya ada menerima aduan dan sedang mempergiatkan operasi di seluruh negara.

"Kita sedar perkara ini, contohnya ada yang menjual toto yang harganya sekitar RM20, tetapi naik sehingga RM40, begitu juga barangan seperti tikar, harga daripada RM27, boleh naik antara RM30 hingga RM40," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AlManjie, Zuwairi Japri Al-Manjie meninjau sukarelawan dari Puspanita MINDEF membungkus bantuan pelbagai jenis makanan untuk mangsa banjir pada Majlis Penyerahan Sumbangan 40,000 Botol Minuman oleh Etika Sdn Bhd kepada Foodbank Malaysia di Bukit Angkat, Kajang. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AlManjie, Zuwairi Japri Al-Manjie meninjau sukarelawan dari Puspanita MINDEF membungkus bantuan pelbagai jenis makanan untuk mangsa banjir pada Majlis Penyerahan Sumbangan 40,000 Botol Minuman oleh Etika Sdn Bhd kepada Foodbank Malaysia di Bukit Angkat, Kajang. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X