Selasa, 28 Disember 2021 | 11:20am
 Anggota polis di bawah IPD Kuala Langat membantu membersihkan kawasan terjejas akibat banjir. - Foto Ihsan Polis Selangor
Anggota polis di bawah IPD Kuala Langat membantu membersihkan kawasan terjejas akibat banjir. - Foto Ihsan Polis Selangor

Polis Selangor bantu mangsa banjir

SHAH ALAM: Kesibukan tugas hakiki menjaga keselamatan tidak menghalang Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi bantuan membersihkan premis yang terjejas akibat banjir di Selangor.

Anggota polis turut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri lain menggembleng tenaga membantu mangsa banjir sejak beberapa hari lalu.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk pengagihan barang keperluan asas dan kerja pembersihan di kawasan Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Menurut Facebook rasmi Polis Selangor, misi bantuan itu membabitkan kerjasama Gabungan NGO Selangor yang diketuai Datuk Nazilah Idris.

Polis turut bekerjasama dengan Pusat Pengajian Ar-Rafiee (NGO-i MAIS) bagi membantu orang ramai terjejas banjir di Klang serta Shah Alam.

Bantuan membabitkan mangsa di Johan Setia, Klang; Kampung Lombong; Kampung Lanchong Jaya, Seksyen 28; Kampung Padang Jawa; dan Kampung Teluk Menegun, Seksyen 36, serta Taman Klang Perdana.

Di Kuala Langat pula, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh menggerakkan pegawai dan anggota bagi membantu penduduk setempat membersihkan rumah anggota terjejas akibat banjir.

Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut digerakkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Tadom dan Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin bagi membantu kerja pembersihan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili IPK Selangor merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain serta seluruh warga kerja IPK Pulau Pinang kerana menyalurkan bantuan kepada warga IPK Selangor yang terjejas.

"IPK Pulau Pinang juga menghantar bantuan enam lori dan 28 sukarelawan terdiri daripada pegawai kanan dan anggota pelbagai cawangan.

"Antara sumbangan dihulurkan ialah barang keperluan harian seperti tilam, bantal, dapur gas, pakaian baru, tuala, makanan kering dan minuman sedikit sebanyak meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.

"Selain itu, IPK Pulau Pinang juga membekalkan peralatan pembersihan rumah agar perumahan mangsa banjir dapat didiami seperti sedia kala," katanya.

Berita Harian X