Selasa, 28 Disember 2021 | 10:19am

Bergadai nyawa demi selamatkan mangsa banjir

HULU LANGAT: Sekumpulan pendaki sukarelawan perlu meredah kawasan tanah runtuh demi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini, yang terputus hubungan akibat kejadian banjir 18 Disember lalu.

Malah, mereka perlu mengharungi perjalanan sukar apabila laluan di situ dilitupi lumpur, berbatu, serpihan pokok tumbang serta lereng bukit, yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba ke kampung berkenaan.

Lebih mencemaskan apabila kumpulan pendaki itu berdepan kejadian runtuhan susulan di sebahagian laluan terbabit, sejurus mereka melepasi kawasan berkenaan ketika pulang daripada trip kelima sepanjang menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

Seramai 50 pendaki sukarelawan itu dikatakan kumpulan pertama meredah laluan berkenaan selepas berlaku kejadian tanah runtuh, selain perlu memikul barangan keperluan dianggarkan antara 30 hingga 40 kilogram (kg) setiap seorang.

Kerja amal itu dilakukan CSR Hikers Trooper dan Amal Team Melaka selepas menerima maklumat mengenai nasib penduduk terbabit ketika melakukan pembersihan surau di Kampung Orang Asli Paya Lebar, Jumaat lalu, selain difahamkan, kerja pembersihan di kawasan itu sedang giat dijalankan pihak berkuasa.

Pengasas CSR Hikers Troopers, Abdul Rasyid Abdul Rahman, 35, berkata nasib 40 keluarga di Kampung Orang Asli Genting Peras itu hanya diketahui selepas seorang wakil mereka datang merayu bantuan makanan dan kelengkapan asas daripada Tok Batin Kampung Orang Asli Paya Lebar.

Sukarelawan pendaki menuju ke perkampungan orang asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad
Sukarelawan pendaki menuju ke perkampungan orang asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad

Sebahagian Orang Asli membawa bantuan bekalan makanan dan keperluan harian menuju ke perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad
Sebahagian Orang Asli membawa bantuan bekalan makanan dan keperluan harian menuju ke perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad

Sebahagian sukarelawan pendaki menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan harian ke perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad

"Kami minta bantuan rakan pendaki untuk menjalankan ekspedisi selama dua hari (Sabtu dan Ahad lalu). Bekalan elektrik di kampung mereka terputus dan ia menyukarkan untuk berkomunikasi dengan pihak luar.

"Perjalanan kami dari hab pengumpulan barangan ke pos kem Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil masa 25 minit menggunakan pacuan empat roda, sebelum perlu berjalan kaki melalui kawasan tanah runtuh, kira-kira dua jam untuk tiba di kampung berkenaan," katanya kepada BH semalam.

Menceritakan detik melalui kawasan tanah runtuh sepanjang misi itu, Abdul Rasyid berkata, pendaki perlu melalui laluan yang mencabar dan kurang selamat ekoran struktur tanah berlumpur dan kesan runtuhan.

"Ada laluan terputus, jika tersilap pijak memang boleh jatuh gaung, selain keadaan berlumpur sehingga paras paha menyukarkan pergerakan. Ada ketikanya kami berehat di antara serpihan runtuhan sebelum meneruskan perjalanan ke kampung berkenaan," katanya.

Ditanya jenis bantuan dihulurkan kepada Orang Asli yang terjejas kejadian itu, beliau berkata, mereka cuba mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, air minuman, makanan kering, susu bayi, lampin pakai buang dan pakaian yang semuanya ditempatkan di pusat pengumpulan Kampung Orang Asli Paya Lebar.

"Selain barangan keperluan asas, kami juga bawa peralatan bagi kerja membersihkan lima rumah yang dinaiki air. Saya dimaklumkan, empat rumah Orang Asli Kampung Genting Peras musnah akibat banjir.

Sepuluh sukarelawan pendaki bergambar dengan Tok Batin, Ompo Basuh (tengah) selepas selamat tiba di perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad
Sepuluh sukarelawan pendaki bergambar dengan Tok Batin, Ompo Basuh (tengah) selepas selamat tiba di perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad

Kesan tanah runtuh yang menyebabkan kampung Orang Asli Genting Peras terputus hubungan susulan tanah runtuh. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Kesan tanah runtuh yang menyebabkan kampung Orang Asli Genting Peras terputus hubungan susulan tanah runtuh. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

"Pasukan kami dapat lakukan enam trip untuk menghantar bantuan, selain penduduk kampung ini turut menerima bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menghantar bekalan menggunakan helikopter," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Genting Peras, Ompo Basuh, berterima kasih kepada kumpulan pendaki yang menghulurkan bantuan berkenaan.

Katanya, jalan masuk ke kampung berkenaan terputus hubungan selepas dilanda banjir dan tanah runtuh, menyebabkan ia tidak boleh dilalui kenderaan termasuk motosikal.

"Semua jalan sama ada melalui Hulu Langat atau Negeri Sembilan memang tidak boleh dilalui kenderaan. Apabila ada penduduk terputus bekalan makanan, kami terpaksa berjalan ke kampung bersebelahan meminta bantuan," katanya.

Sebahagian sukarelawan pendaki menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan harian ke perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad
Sebahagian sukarelawan pendaki menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan harian ke perkampungan Orang Asli Genting Peras. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X