Selasa, 28 Disember 2021 | 9:03am
Begitu banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh bencana banjir yang melanda Jelebu, baru-baru ini termasuk ada yang kehilangan tempat tinggal - Foto BERNAMA
Begitu banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh bencana banjir yang melanda Jelebu, baru-baru ini termasuk ada yang kehilangan tempat tinggal - Foto BERNAMA

Jelebu kawasan paling kering, alami banjir terburuk

SEREMBAN: Bencana banjir yang melanda lapan negeri termasuk Negeri Sembilan pada minggu lepas, disifatkan oleh banyak pihak sebagai antara yang terburuk di negara ini dalam tempoh 50 tahun.

Musibah yang datang ketika rakyat masih lagi diancam jangkitan COVID-19, menambah beban mereka yang sudah sedia terbeban khususnya dari segi ekonomi.

Di negeri ini, Jelebu adalah daerah paling subur dan terkenal dengan durian Jelebu, antara yang paling teruk terjejas dalam bencana itu, membabitkan 11 kawasan dengan puluhan buah kampung, selepas hujan lebat selama lebih lima jam sejak 6 petang pada 18 Disember.

Penduduk di kampung yang terkesan, antaranya Kampung Chennah, Kampung Puom dan Kampung Pah, iaitu kawasan paling teruk terjejas, langsung tidak menyangka kejadian hujan lebat luar biasa itu akan memberi kesan yang amat besar kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang ditemui, reda dengan ujian yang menimpa mereka, namun masing-masing mengakui masih lagi dalam keadaan terkejut apabila melihat begitu banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh bencana itu, termasuk kehilangan tempat tinggal kerana rumah dihanyutkan arus, atau hanya tinggal bumbung, atau senget dan tidak selamat didiami, atau ranap sepenuhnya.

Kerugian dari segi ternakan dan tanaman juga tidak terkira, sementara beberapa lokasi tumpuan pelancong turut musnah.

Sekalipun begitu, warga Jelebu tetap bersyukur kerana tiada yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana itu yang menyaksikan paras banjir setinggi lebih dua meter.

Dari segi geografi, Jelebu terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa dengan bentuk muka bumi berbukit-bukau. Justeru, daerah yang bersempadan dengan Selangor dan Pahang serta diapit oleh daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jempol itu agak terlindung daripada hujan.

Malah, daerah itu adalah kawasan paling kering di Negeri Sembilan.

Seorang penduduk Kampung Chennah, Jelebu giat melakukan kerja-kerja pembersihan di kedainya. - Foto BERNAMA
Seorang penduduk Kampung Chennah, Jelebu giat melakukan kerja-kerja pembersihan di kedainya. - Foto BERNAMA

Penduduk Kampung Chennah, Jelebu, giat melakukan kerja-kerja pembersihan akibat terjejas dalam kejadian banjir yang melanda kawasan kampung itu. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Chennah, Jelebu, giat melakukan kerja-kerja pembersihan akibat terjejas dalam kejadian banjir yang melanda kawasan kampung itu. - Foto BERNAMA

Sisa lumpur kering jelas dapat dilihat pada sebuah kenderaan yang terjejas dalam kejadian banjir yang melanda kawasan Kampung Chennah, Jelebu. - Foto BERNAMA
Sisa lumpur kering jelas dapat dilihat pada sebuah kenderaan yang terjejas dalam kejadian banjir yang melanda kawasan Kampung Chennah, Jelebu. - Foto BERNAMA

Namun, pada 18 Disember lalu, lima stesen hujan di daerah itu merekodkan taburan hujan yang luar biasa iaitu melebihi 100 mm, sedangkan pada hari sebelumnya, lima stesen terbabit - Ulu Klawang, Chenor, Ladang Pertang, Ladang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Jelebu serta Chennah - mencatatkan paras normal bawah 60 milimeter (mm).

Pada hari kejadian, stesen Ulu Klawang mencatatkan jumlah taburan hujan tertinggi 199mm dalam tempoh lima jam, bersamaan taburan hujan untuk sebulan, sementara stesen hujan lain merekodkan antara 77mm dan 180mm.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, hujan lebat yang berterusan menyebabkan banjir kilat yang teruk di beberapa kawasan rendah dan berisiko banjir di lembangan Sungai Triang.

"Kebanyakan kawasan yang terjejas tempoh hari menunjukkan kawasan itu telah mengalami taburan hujan melebihi 100 ARI (Average Recurrence Interval)," katanya.

Penduduk mengemas dan membersih kawasan rumah selepas banjir surut di Kampung Batu Serambai, Jelebu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan air dari sub lembangan Sungai Triang seperti Sungai Chennah, Sungai Klawang, Sungai Chempedak, Sungai Gelami, Sungai Kenaboi dan Sungai Jelebu tidak dapat mengalir ke Sungai Triang, sekali gus menyebabkan banjir.

Keadaan bertambah buruk apabila penduduk langsung tidak bersedia untuk menghadapi bencana di luar jangka itu, katanya yang menyifatkan banjir di Jelebu adalah yang terburuk sejak 15 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan rumah bagi penduduk yang kehilangan kediaman dalam bencana itu. – BERNAMA

Berita Harian X