Isnin, 27 Disember 2021 | 11:25pm

Paras Sungai Langat kembali rendah

KUALA LUMPUR: Paras air Sungai Langat di sekitar daerah Hulu Langat kembali rendah selepas Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), petang tadi memaklumkan aras sungai berkenaan berada pada aras bahaya dengan trend menaik.

Berdasarkan maklumat terkini portal Public Info Banjir, paras air Sungai Langat di pekan Kajang berada pada 22.88 meter (m) melebihi paras normal iaitu 15.00m, namun masih berada di bawah paras waspada iaitu 24.40m.

Sementara itu, paras air Sungai Langat di Taman West Country, Kajang berada di paras 19.51 m, melebihi sedikit paras normal iaitu 19.65m namun berada di bawah paras waspada iaitu 21.40m.

Paras air Sungai Langat di Batu 20, Hulu Langat juga melebihi paras normal 86.80m namun masih dikategorikan normal dengan bacaan 88.43m, yang mana paras waspada ditetapkan pada paras 89.80m.

Bagaimanapun, paras air sungai itu di Bukit Changgang, Kuala Langat mencatat bacaan 3.71 m iaitu melebihi paras waspada 3.30m.

Trend sama turut dilihat pada paras air Sungai Langat di Dengkil, Sepang yang kini melebihi paras waspada iaitu 6.40m apabila bacaan terkini mencatatkan paras 6.77m.

JPS dalam satu kenyataan, petang tadi meminta penduduk berhampiran Sungai Langat sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa ekoran paras air sungai itu dicatatkan berada di paras bahaya.

Amaran sama turut dikeluarkan kepada penduduk berhampiran Sungai Langat di Taman West Country, Kajang.

Berita Harian X