Isnin, 27 Disember 2021 | 1:18pm
Banjir turut menenggelami Lebuhraya Persekutuan. - Foto fail NSTP
Banjir turut menenggelami Lebuhraya Persekutuan. - Foto fail NSTP

RM900 juta anggaran kos baiki jalan akibat banjir

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos semasa kerja pembaikan jalan Persekutuan dan negeri kelolaannya, bernilai kira-kira RM900 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata anggaran itu berdasarkan penilaian tahap kerosakan selepas JKR melaksanakan pemeriksaan ke atas aset jalan.

Katanya, pemeriksaan mendapati banyak kerosakan berlaku pada jalan, jambatan, longkang, cerun dan struktur lain, yang memerlukan pembaikan segera.

"Penilaian tahap kerosakan sudah dilaksanakan dan laporan cadangan pembaikan serta kos dimajukan kepada kementerian terbabit dan agensi pusat bagi kelulusan peruntukan.

"Kerja itu termasuk membetulkan permukaan jalan, pembaikan aset jalan yang rosak dan pembaikan serta pengukuhan cerun," katanya kepada BH.

Ditanya fokus kerja pembaikan pasca banjir itu, Fadillah menjelaskan, tumpuan utama JKR adalah bagi memastikan semua aset kerajaan di bawah seliaan JKR iaitu jalan, jambatan dan cerun tepi jalan, yang terjejas akibat

bencana dibaik pulih dan selamat digunakan oleh pengguna.

Katanya, ia dilaksanakan berdasarkan tahap kerosakan yang berlaku seperti menjalankan kerja pembersihan runtuhan, mengeluarkan komponen tanah longgar serta pemantauan

dari semasa ke semasa.

"Laluan akan dibuka jika ia selamat digunakan," katanya.

Bagi kawasan yang tiada laluan alternatif, JKR akan membina jambatan sementara, yang mengambil masa tiga hingga empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau dikenali sebagai 'Bailey Bridge'.

"JKR mempunyai tujuh stor penyimpanan 'Bailey Bridge' di seluruh Malaysia meliputi zon utara, selatan, timur dan tengah. Aset ini digunakan apabila berlakunya bencana," katanya.

Selain itu, Fadillah berkata, JKR menjadi jabatan teknikal dan pakar rujuk kerajaan dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan lain-lain, termasuk mengesan lokasi cerun berisiko.

Ketika ini, katanya, JKR sedang memeriksa pergerakan tanah runtuh dan kegagalan struktur, selain mengenal pasti lokasi cerun yang perlu diperkukuhkan.

Berita Harian X