Ahad, 26 Disember 2021 | 6:05pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad (tengah) melayan sekumpulan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir memilih baju baru yang disumbangkan sukarelawan ketika ditemui di Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat, Banting hari ini. - Foto BERNAMA

33,815 mangsa banjir di 211 PPS setakat 5 petang

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri dilaporkan terus mencatatkan penurunan hari ini apabila 33,815 individu direkodkan hingga jam 5 petang berbanding 35,521 tengah hari tadi.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 33,815 mangsa adalah daripada 10,019 keluarga yang kini ditempatkan di 211 PPS.

Berbanding tengah hari tadi, sebanyak 223 PPS dibuka namun menjelang petang ini, 12 PPS sudah ditutup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pula dalam kenyataan hari ini berkata setakat ini seramai 47 orang menjadi korban banjir di seluruh negara serta lima lagi masih hilang.

Selangor kekal dengan 25 mangsa, manakala Pahang seramai 19 mangsa dan tiga mangsa di Kelantan.

"Mangsa di Selangor membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita, manakala di Pahang, 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki. Di Kelantan membabitkan dua lelaki dan seorang budak perempuan," katanya.

Kerja-kerja pembersihan barangan rumah yang telah rosak akibat banjir sedang giat dilakukan ketika tinjauan di sekitar Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembersihan barangan rumah yang telah rosak akibat banjir sedang giat dilakukan ketika tinjauan di sekitar Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, di Selangor, jumlah mangsa banjir di PPS turut merekodkan penurunan iaitu sebanyak 15,404 dari 4,347 yang kini ditempatkan di 83 PPS berbanding 16,568 yang berada di 86 PPS tengah hari tadi.

Di Pahang pula, 17,724 mangsa banjir masih berada di 122 PPS, juga menunjukkan penurunan berbanding 18,619 di 132 PPS, tengah hari tadi.

Sementara Kelantan hanya dua PPS masih dibuka berbanding empat tengah hari tadi bagi menempatkan 517 mangsa banjir daripada 169 keluarga iaitu di masing-masing di Pasir Mas iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh dan Sekolah Kebangsaan Gual Periok.

Di Negeri Sembilan, 141 mangsa banjir dari 39 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala Melaka pula hanya satu PPS masih dibuka bagi menempatkan 29 mangsa banjir dari sembilan keluarga.

Berdasarkan laman web rasmi public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, sebanyak 12 sungai di seluruh negara merekodkan aras air melebihi tahap waspada termasuk di Stesen Tapak Pengujian WPKL PRAB f2, Kuala Lumpur di mana arasnya berada pada 0.55 meter (m).

Penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir memilih baju baru yang disumbangkan sukarelawan ketika tinjauan di Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat, Banting, hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir memilih baju baru yang disumbangkan sukarelawan ketika tinjauan di Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat, Banting, hari ini. - Foto BERNAMA

Di Pahang, tiga sungai merekodkan aras air melebihi tahap waspada iaitu di Sungai Dong, Raub dengan 133.91 m; Sungai Triang, Bentong (52.37 m) dan Sungai Jengka, Maran (23.18 m).

Masing-masing dua sungai di Kelantan dan Melaka turut merekodkan tahap waspada iaitu di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan 7.28 m; dan Sungai Golok (7.33m) di Kelantan dan Melaka di Sungai Kesang, Jasin (3.25 m) dan Sungai Melaka (1.69 m).

Berita Harian X