Ahad, 26 Disember 2021 | 4:37pm
Antara sekolah yang ditenggelami air pada musim banjir kali ini. - Foto ihsan Facebookpenduduk Taman Sri Muda, Shah Alam
Antara sekolah yang ditenggelami air pada musim banjir kali ini. - Foto ihsan Facebookpenduduk Taman Sri Muda, Shah Alam

Lebih 7,000 pelajar sekolah jadi mangsa banjir

PUTRAJAYA: Lebih 7,000 pelajar sekolah dilaporkan menjadi mangsa banjir kali ini dan ditempatkan bersama keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) di semua negeri yang terkesan dengan bencana alam itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata daripada jumlah itu, 5,804 pelajar masih berlindung di PPS, manakala 1,914 lagi sudah pulang ke rumah masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, 326 guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjadi mangsa banjir turut ditempatkan di PPS.

"Daripada jumlah itu, 237 masih berada di PPS dan 89 sudah keluar. Bilangan guru terjejas akibat banjir kali ini agak ramai, terutama di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Semalam, saya mengadakan lawatan ke Putra Heights dan mendapati ada guru besar yang turut terkesan menyebabkan mereka perlu menumpukan kerja membersihkan kediaman.

"Kita sedang memperincikan bilangan guru terbabit banjir dan bantuan akan diberi berdasarkan jumlah kerosakan yang mereka alami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Dewan Presint 18/R, di sini, hari ini.

Seterusnya, Radzi memaklumkan, sebanyak 174 sekolah ditenggelami banjir kali ini dan tidak digunakan sebagai PPS.

"Sebanyak 311 sekolah pula digunakan sebagai PPS. Ini menjadikan jumlah sekolah terbabit banjir serta dibuka sebagai PPS adalah sebanyak 485 buah," katanya.

Beliau berkata, kerjasama guru juga diperlukan bagi sama-sama mengambil tanggungjawab jika sekolah mereka dijadikan PPS.

Katanya, ia sejajar usaha membantu agensi lain untuk melaksanakan tugas dengan lancar bagi meringankan beban mangsa banjir.

Berita Harian X