Ahad, 26 Disember 2021 | 4:18pm
Mangsa banjir di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, mengambil kesempatan cuaca baik hari ini untuk jemur buku dan album gambar di ampaian. - Foto NSTP/Faris Fuad
Mangsa banjir di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, mengambil kesempatan cuaca baik hari ini untuk jemur buku dan album gambar di ampaian. - Foto NSTP/Faris Fuad

'Ada kumpulan yang sekadar berkunjung tunjuk simpati'

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, di sini mendakwa ada sekumpulan individu dipercayai daripada sebuah parti politik sekadar merakam gambar dan menzahirkan rasa simpati ketika meninjau keadaan di kawasan itu pada 19 Disember lalu.

Sehari sebelum itu, hujan lebat menyebabkan kawasan itu ditelenggami air hingga paras melebihi dua meter.

Seorang penduduk di kawasan itu, Karen Phua, 37, berkata kumpulan berkenaan tidak memberi sebarang sumbangan kepada mangsa banjir, sebaliknya hanya melihat kesan musibah itu.

"Kumpulan itu ada kira-kira 10 orang yang datang tengok sahaja selepas itu cakap kesiannya kepada penduduk.

"Namun, tidak semua ahli politik bertindak sedemikian. Sejak kejadian banjir, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh antara yang aktif dan hadir memberi bantuan keperluan asas terutama makanan.

"Kalau Hannah tidak hadir, beliau akan menghantar pegawainya untuk mendapatkan maklum balas penduduk mengenai situasi semasa dan bantuan diperlukan," katanya ditemui BH di kampung berkenaan, hari ini.

Longgokan sampah dan barang rosak akibat banjir dibuang penduduk di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Faris Fuad
Longgokan sampah dan barang rosak akibat banjir dibuang penduduk di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Faris Fuad

Sementara itu, penduduk kampung sama, Eric Tluang Zathang, 31, berkata dia dan tujuh ahli keluarga berteduh di tokong berdekatan selepas rumah dinaiki air pada hari kejadian.

Tiada barang dibawa bersama selepas mengambil kira faktor nyawa lebih penting dalam situasi kecemasan.

"Keesokannya selepas air mula surut, saya kembali ke rumah dan mendapati semua perabot seperti sofa dan barang elektrik sudah musnah. Kami kemas rumah hingga hari ini kerana terdapat kesan lumpur yang teruk. Jiran pun ada bantu untuk membersihkan kawasan rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Carol Phua, 41, pula menggesa pihak berkuasa mengangkut sampah serta barang rosak akibat banjir dibuang penduduk di kawasan Kampung Kasipillay, secepat mungkin.

"Kita khuatir kalau sampah ini terus dibiarkan, ia menimbulkan pelbagai permasalahan lain termasuk daripada aspek kebersihan. Malah, ia juga akan menyebabkan kenderaan susah keluar dan masuk kawasan ini kerana loggokan sampah," katanya.

Berita Harian X