Ahad, 26 Disember 2021 | 2:40pm
Kunci air Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor kini ditutup kembali selepas paras air di Taman Sri Muda Seksyen 25 berada di paras yang selamat ketika tinjauan hari ini. - foto BERNAMA
Kunci air Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor kini ditutup kembali selepas paras air di Taman Sri Muda Seksyen 25 berada di paras yang selamat ketika tinjauan hari ini. - foto BERNAMA

Banjir: Jumlah mangsa menurun di tiga negeri, Melaka kekal

KUALA LUMPUR: Seramai 35,521 orang daripada 10,479 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat tengah hari ini berbanding 37,295 daripada 10,944 keluarga pada sebelah pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mereka ditempatkan di 223 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN terus mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari ini, apabila seramai 633 orang daripada 203 keluarga berbanding pagi tadi 681 orang daripada 218 keluarga, melibatkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Empat PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual dan PPS Putat Tujoh.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya namun dua sungai mencatatkan paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Keadaan air Sungai Klang berada di paras yang selamat ketika tinjauan hari ini.
Keadaan air Sungai Klang berada di paras yang selamat ketika tinjauan hari ini.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan seramai 16,568 orang mangsa ditempatkan di 86 PPS setakat tengah hari ini menurun sedikit daripada 16,579 mangsa di jumlah PPS yang sama pagi tadi.

Laporan Harian Status Pemulihan Infrastruktur Selangor Pasca Banjir hari ini memaklumkan, setakat jam 8 malam tadi sebanyak 177 kawasan telah surut manakala sembilan kawasan masih digenangi air (banjir termenung), sementara semua lapan empangan di Selangor berada dalam keadaan terkawal.

Laporan itu turut menyebut 108 menara telekomunikasi masih dalam peringkat baik pulih dengan kawasan yang paling banyak terjejas daerah Klang, Petaling dan Sepang membabitkan menara telekomunikasi yang terkesan mengikut syarikat telco adalah U Mobile (30); DIGI (31); Maxis (21); Celcom (15) dan YTL (11).

Skuad Prihatin Bersatu Membantu Membersih Rumah Mangsa Banjir anjuran Bersatu Negeri Selangor & Srikandi Selangor di Kampung Jawa, Hulu Langat.
Skuad Prihatin Bersatu Membantu Membersih Rumah Mangsa Banjir anjuran Bersatu Negeri Selangor & Srikandi Selangor di Kampung Jawa, Hulu Langat.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir tengah hari ini seramai 18,619 yang masih berada di 132 PPS berbanding 19,839 orang di 137 PPS pagi tadi.

Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya dua sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend penurunan, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Kundang.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula masih kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

"Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup," katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X