Ahad, 26 Disember 2021 | 2:30pm

'Mangsa banjir di Sentul kurang dapat perhatian'

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Sentul kurang mendapat perhatian menerusi media sosial menjadi faktor badan bukan kerajaan (NGO), Tycoon Prihatin menjalankan misi bantuan di Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Kolam air dan Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, hari ini.

Pengarah Tycoon Prihatin, Azman Arshad, berkata misi bantuan itu disertai kira-kira 50 ahli NGO berkenaan turut dibantu 15 anggota Balai Polis Sentul yang akan mengawal aliran trafik bagi melancarkan proses pengagihan barang.

Katanya, pasukan keselamatan itu juga menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi mengangkut pelbagai barang sumbangan termasuk dapur gas, biskut, air mineral, bantal dan tilam dengan nilai keseluruhan mencecah RM70,000.

"Barang itu hasil sumbangan ahli NGO dan orang ramai. Kita merasa terpanggil untuk memberi bantuan di Sentul kerana menerima maklumat mangsa banjir kawasan berkenaan kurang mendapat perhatian dan bantuan.

"Ini adalah antara peranan dan sumbangan NGO bagi meringankan beban mangsa terkesan.

"Inisiatif ini membabitkan majoriti anak muda yang bersemangat pada hari minggu untuk bersama menjayakan misi bantuan berkenaan," katanya ketika ditemui BH di pusat pengumpulan barang bantuan di Jalan Sentul Impian, di sini, hari ini.

Badan bukan kerajaan (NGO) Tycoon Prihatin menjalankan misi bantuan di Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Kolam air dan Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Badan bukan kerajaan (NGO) Tycoon Prihatin menjalankan misi bantuan di Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Kolam air dan Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Ditanya perancangan misi bantuan lain, Azman berkata, pihaknya akan meneruskan misi itu di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, dalam masa terdekat ini.

"Semua sedia maklum di Hulu Langat antara lokasi paling terkesan kejadian banjir. Namun, kita mulakan misi di Sentul kerana mangsa banjir di sana dilihat kurang mendapat sumbangan dan liputan media.

"Selepas ini, kita akan ke Hulu Langat kerana ada penduduk yang masih memerlukan bantuan terutama barangan keperluan asas," katanya.

Berita Harian X