Sabtu, 25 Disember 2021 | 6:02pm
Jabatan Kesihatan Sabah nafi laporan media Indonesia mengenai dakwaan ambil organ dalaman mayat warga negara itu selepas dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth. - Foto hiasan
Jabatan Kesihatan Sabah nafi laporan media Indonesia mengenai dakwaan ambil organ dalaman mayat warga negara itu selepas dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth. - Foto hiasan

JKNS nafi ambil organ dalaman warga Indonesia

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan mengenai organ dalaman jenazah seorang warga Indonesia yang meninggal dunia di Sabah baru-baru ini diambil ketika bedah siasat sebelum mayat dihantar pulang ke negara asal.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata tiada organ pesakit yang diambil seperti yang didakwa dalam siaran berita sebuah stesen televisyen negara itu dan disebarkan melalui laman YouTube sejak kelmarin.

Jenazah pesakit yang bernama Saidiman Hamal, 38, ditemui mati di atas kapal pada 1 Disember lalu sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

Bedah siasat dilakukan pada 7 Disember lalu atas arahan pihak polis dan ia adalah prosedur yang ditetapkan bagi semua kes kematian yang dibawa ke hospital atau Brought In Dead (BID).

"Pihak hospital dimaklumkan oleh polis bahawa pesakit ini tidak mempunyai waris terdekat di Malaysia. Bagaimanapun, polis dapat mengesan beberapa orang yang mengaku saudara kepada pesakit dan mereka juga kenal waris terdekat di Indonesia. Seorang saudaranya melakukan pengecaman sebelum mayat dibedah siasat.

"Pegawai Perubatan Forensik yang mengendalikan bedah siasat juga sudah menerangkan kepada saudara pesakit terbabit bahawa beberapa sampel tisu kecil organ akan diambil untuk dibawa ke makmal bagi menentukan punca kematian.

"Tiada organ pesakit yang diambil seperti yang didakwa dalam berita dan semua organ dikembalikan bersama mayat. Setiap sampel yang diambil adalah berukuran dalam lingkungan 2.54 sentimeter (satu inci).

"Pegawai perubatan juga sudah menerangkan keputusan bedah siasat kepada saudara pesakit. Beliau faham dengan penerangan yang diberikan dan akan menyampaikan informasi kepada waris terdekat pesakit di Indonesia. Punca kematian adalah jangkitan paru-paru dengan sakit jantung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, jenazah kemudian diberikan kepada saudara pesakit dan syarikat pengurusan jenazah 3M pada 17 Disember lalu, manakala pihak majikan menguruskan penghantaran pulang jenazah ke negara asal.

Sebelum ini tular satu video mengenai berita dari Indonesia bertajuk 'Jenazah TKI Dipulangkan Dari Malaysia Tanpa Organ Tubuh' berkaitan jenazah seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa diambil organnya sebelum dihantar pulang ke negara itu.

Berita Harian X