Sabtu, 25 Disember 2021 | 4:43pm

Penduduk diminta waspada gelombang kedua banjir

MASJID TANAH: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meminta penduduk di negeri ini bersedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir yang dijangka dalam tempoh terdekat.

Beliau menegaskan, jika jangkaan itu menjadi kenyataan, keadaan akan menjadi lebih buruk dan menyukarkan penduduk.

Justeru, katanya, kerja pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas kini giat dilaksanakan pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sulaiman juga mengarahkan kerja pembersihan sungai, longkang serta membaiki jalan rosak disegerakan sebaik banjir surut kerana bimbang sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

"Kita harap tidak berlaku. Apapun setakat ini, kerja pembersihan berjalan dengan baik dan masih berterusan," katanya turut meminta penduduk di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa peka dengan ramalan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau yang ditemui media selepas melepaskan peserta Misi Pasca Banjir Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini, hari ini, berkata penduduk perlu sentiasa peka dengan perkembangan cuaca dan jika arahan berpindah dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta pejabat daerah, mereka perlu segera berbuat demikian.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada sukarelawan untuk diagihkan kepada mangsa banjir pada Misi Pasca Banjir Melaka DUN Ayer Limau, hari ini. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada sukarelawan untuk diagihkan kepada mangsa banjir pada Misi Pasca Banjir Melaka DUN Ayer Limau, hari ini. NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Sumbangan di Lubok China membabitkan bantuan peralatan dan kelengkapan asas diagihkan kepada 233 rumah di enam lokasi terbabit banjir di DUN berkenaan. Antara kelengkapan disumbangkan termasuk periuk nasi, cerek, cadar, selimut, kain batik dan pelekat serta bantal oleh pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan dan swasta.

Sulaiman berkata, pejabat daerah juga pula perlu konsisten dalam memberi maklumat dan arahan kepada penduduk agar gerak kerja dalam berhadapan banjir dapat dilakukan dengan lancar.

Berita Harian X