Sabtu, 25 Disember 2021 | 1:11pm
Banyak mendapan dikesan di beberapa kawasan sepanjang jalan raya di antara Kampung Tuit dan Hulu Tembeling, Pahang. NSTP/Foto ihsan Pembaca
Banyak mendapan dikesan di beberapa kawasan sepanjang jalan raya di antara Kampung Tuit dan Hulu Tembeling, Pahang. NSTP/Foto ihsan Pembaca

184 bencana berlaku di jalan raya berikutan banjir

KUALA LUMPUR: Sebanyak 184 bencana direkodkan berlaku di jalan raya di seluruh negara, berdasarkan laporan status semasa, setakat semalam.

Mengikut perincian statistik Jabatan Kerja Raya (JKR), pihaknya mengenal pasti 123 lokasi banjir, lima banjir kilat, 40 lokasi cerun runtuh, 13 jalan runtuh, satu lokasi jalan mendap dan dua lokasi jambatan rosak atau runtuh.

Insiden berkenaan berlaku di 56 jalan Persekutuan dan 125 jalan negeri.

Antara lokaliti terbabit di Kedah ialah di Yan dan Baling, Kelantan (Pasir Mas dan Kuala Krai), Negeri Sembilan (Seremban dan Jelebu), Pahang (Temerloh, Pekan, Raub, Maran, Bera, Jerantut, Kuantan dan Bentong).

Ia termasuk di Selangor (Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Selangor, Petaling, Gombak, Sabak Bernam) dan Terengganu (Dungun).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya dengan kerjasama syarikat konsesi sudahpun menjalankan kerja-kerja pembersihan di setiap jalan yang pulih daripada bencana.

"Status terkini jalan yang telah pulih dan selesai pembersihan adalah sebanyak 16 lokasi," katanya kepada BH semalam.

Bencana banjir, katanya, turut menjejaskan operasi 14 lebuh raya di sekitar Lembah Klang dan Pahang.

Katanya, ia membabitkan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

"Lebuhraya lain yang terjejas sama adalah Lebuhraya Kajang (SILK), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

"Lebuhraya terjejas di Pahang membabitkan Lebuhraya KL Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur–Fasa 1 (LPT1)," katanya.

Fadillah berkata, justeru, bagi mengelak kejadian sama berulang, JKR bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memaklumkan akses jalan kepada orang ramai.

Langkah itu, katanya, membolehkan maklumat disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat di NADMA untuk tujuan penyelarasan semua kejadian bencana.

Katanya, JKR juga bertindak mengedarkan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun kepada JKR daerah serta pihak berkepentingan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NADMA agar kerja pemantauan cerun dapat dijalankan secara bersepadu.

"JKR telah mengenal pasti lokasi cerun yang perlu diperkukuhkan mengikut keutamaan berdasarkan peta bahaya dan risiko yang dihasilkan serta jalan yang mengalami kerosakan akibat bencana. 

"JKR juga mengenal pasti semua jalan yang berisiko tinggi banjir yang boleh menyebabkan kegagalan struktur jalan dengan menaik taraf dan membaiki sistem perparitan terutama yang membabitkan pembetung dan perparitan.

"Kerja-kerja pembaikan, pencegahan dan penyenggaraan akan dilaksanakan segera," katanya.

Tindakan segera diambil JKR selepas mengesan cerun runtuh, katanya, adalah memasang papan tanda amaran di jalan terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

Fadillah berkata, JKR akan menutup jalan yang terbabit secepat mungkin bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, selain menyediakan laluan alternatif bagi penutupan jalan.

Katanya, langkah seterusnya, JKR akan memaklumkan segera kepada orang ramai mengenai penutupan jalan dan laluan alternatif melalui media massa, internet dan media sosial.

"JKR akan melaksanakan pemulihan dan pembaikan jalan bagi jalan yang terjejas akibat bencana secepat mungkin berdasarkan kepada tahap kerosakan yang berlaku seperti menjalankan kerja pembersihan runtuhan, mengeluarkan komponen tanah yang longgar serta pemantauan dari semasa ke semasa. 

"Laluan akan dibuka sekiranya ia selamat digunakan. Kemudian, JKR akan melaksanakan pemeriksaan di kawasan runtuhan dan menyediakan laporan awal berkenaan dengan cadangan pembaikan dan kos yang terbabit," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata JKR telah mengenal pasti dan menyediakan kertas kerja permohonan untuk mendapatkan peruntukan tambahan agar kerja-kerja pencegahan sebelum cerun runtuh dapat dilaksanakan.

"Bagi lebuh raya yang terjejas kerana bencana banjir, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencadangkan untuk menaikkan aras jalan di LPT1," katanya. 

Berita Harian X