Sabtu, 25 Disember 2021 | 12:07pm
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) melepaskan misi khidmat masyarakat lebih 300 sukarelawan Kedah bagi membantu mangsa banjir di Selangor di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) melepaskan misi khidmat masyarakat lebih 300 sukarelawan Kedah bagi membantu mangsa banjir di Selangor di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Kedah balas budi Selangor bantu mangsa banjir

ALOR SETAR: Lebih 300 sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan di negeri ini menyertai misi khidmat masyarakat dan bantuan banjir ke Selangor bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata misi itu sebagai usaha untuk membantu meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir di Selangor.

"Kita juga mahu balas kembali budi rakyat negeri lain termasuk Selangor yang datang membantu mangsa banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Yan, 18 Ogos lalu. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antara pasukan terawal ke Selangor, membawa peralatan pam ke lokasi terjejas bagi menyedut air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Pasukan sukarelawan ini pula bergerak ke sana atas inisiatif masing-masing. Setakat ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sudah susun lokasi mereka untuk melakukan kerja-kerja di Kajang," katanya ketika ditemui selepas melepaskan 40 kenderaan sukarelawan berkenaan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri turut akan menyertai misi berkenaan esok, selain menyerahkan replika cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan khas wang tunai RM200,000 kepada kerajaan Selangor yang sudah dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri berkenaan baru-baru ini.

"Saya harap misi bantuan seperti ini dapat jadi budaya sihat dan subur di Malaysia. Sekiranya ada negeri ditimpa bencana, mereka yang tidak terkesan dapat turun menghulurkan tangan dan meringankan beban. Jika mana-mana sukarelawan berhasrat menyambung bantuan selepas misi ini berakhir 28 Disember, sangat dialu-alukan," katanya.

Berita Harian X