Sabtu, 25 Disember 2021 | 8:21am
Projek pembinaan RTB Sungai Belat sedang giat dilaksanakan. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Projek pembinaan RTB Sungai Belat sedang giat dilaksanakan. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT

JPS salur RM12 juta pulihara sungai, kurangkan risiko banjir di Pahang

KUANTAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menyalurkan peruntukan kira-kira RM12 juta, tahun ini, bagi pelaksanaan usaha memulihara sungai untuk mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Pengarah JPS Pahang, Mohd Noor Bidin, berkata peruntukan itu disalurkan kepada setiap daerah dengan Temerloh menerima jumlah tertinggi, iaitu kira-kira RM1.62 juta, diikuti Kuantan (RM1.48 juta).

Seterusnya, beliau berkata, Lipis (RM1.46 juta), Jerantut (RM1.42 juta), Pekan (RM1.30 juta), Bera (RM1.27 juta), Raub (RM1.03 juta) dan Maran (RM843,688).

Selain itu, beliau berkata, Rompin (RM599,500), Bentong (RM638,188) dan Cameron Highlands (RM396,592).

"Peruntukan sebanyak RM2.67 juta turut disediakan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir di sembilan daerah negeri ini.

"Daerah ini menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM1.53 juta, diikuti Temerloh (RM200,000), manakala Jerantut dan Bera masing-masing RM180,000," katanya.

Permandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan. Keadaan banjir ini berikutan dari limpahan air Sungai Pahang. Kawasan sekitar Pekan, diramalkan akan menerima limpahan air dari Sungai Pahang dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan persisir sungai. - Foto STR/FARIZUL HAFIZ AWANG
Permandangan dari udara keadaan banjir di sekitar Pekan. Keadaan banjir ini berikutan dari limpahan air Sungai Pahang. Kawasan sekitar Pekan, diramalkan akan menerima limpahan air dari Sungai Pahang dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan persisir sungai. - Foto STR/FARIZUL HAFIZ AWANG

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, projek jangka panjang yang sedang dalam pembinaan bagi tujuan sama ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat dan RTB Bandar Pekan Fasa Dua yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, projek baharu yang akan bermula tahun depan pula membabitkan pembinaan RTB Mentakab dan RTB Pandan serta Cenderawasih, di sini.

"Projek berkenaan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk disiapkan.

"Apabila kesemua projek pembinaan RTB itu siap nanti, kita percaya ia dapat mengurangkan kejadian banjir besar di kawasan terbabit setiap kali tiba musim tengkujuh.

"Pembinaan RTB terbabit bertujuan memastikan tidak berlaku limpahan air sungai ke kawasan penempatan penduduk yang terletak berhampiran.

"Kita akan terus melakukan kajian dari pelbagai aspek dalam usaha mengurangkan kejadian banjir," katanya.

Berita Harian X