Jumaat, 24 Disember 2021 | 7:21pm
Longgokan sampah di tepi jalan Kampung Kebun Bunga, Batu 3 dibuang penduduk selepas kejadian banjir. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH
Longgokan sampah di tepi jalan Kampung Kebun Bunga, Batu 3 dibuang penduduk selepas kejadian banjir. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH

200 tan sisa banjir dalam 4 hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200.55 tan sisa pukal banjir dikutip di 13 kawasan di Kuala Lumpur dalam tempoh empat hari akibat banjir, baru-baru ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib, berkata pada Isnin lalu sebanyak 12.09 tan sisa pukal banjir dikutip diikuti 46.59 tan pada Selasa, Rabu (61.02 tan) dan Khamis (80.85 tan).

Katanya, data berkenaan menunjukkan sisa di Kuala Lumpur mengalami peningkatan sekurang-kurangnya 300 tan sehari.

"Sebelum ini, purata harian 2,200 tan. Disebabkan bencana banjir ini, keseluruhan sisa yang dikutip sehari mencecah 2,500 tan sehari.

"Sisa paling banyak dikutip di lokasi berkenaan ialah sisa perabot dan peralatan elektrik," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, semua sisa itu diangkut ke Stesen Pemindahan Kuala Lumpur di Taman Beringin, lalu dipadatkan sebelum dihantar ke Tapak Pelupusan Bukit Tagar.

Katanya, jumlah tenaga kerja yang terbabit dalam menguruskan sisa pukal banjir itu seramai 80 orang dari SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd (155 orang) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (70 orang).

"Kutipan sisa banjir ini dijangka selesai sepenuhnya pada 27 Disember ini, namun mungkin berlanjutan sehingga ke 31 Disember.

"Penduduk diminta mengeluarkan semua barang rosak selewat-lewatnya pada 26 Disember ini bagi membolehkan dikutip," katanya.

Ummi Kalthum berkata, orang ramai perlu mengasingkan barang-barang yang rosak atau separa rosak mengikut kategori, iaitu mengeluarkan barang yang betul-betul rosak, manakala barang elektrik dan bateri rosak diasingkan untuk dilupuskan sebagai e-waste.

Katanya, sisa fabrik pula perlu dibasuh, dikeringkan dan dikumpulkan untuk dihantar ke tong sisa fabrik.

"Sisa domestik kotor atau makanan biasa pula perlu dibuang ke dalam tong hijau, kerana kutipan akan dibuat mengikut jadual. Jika dicampur dengan sisa pukal akan merosakkan sisa pukal dan menyebabkan bau yang kuat sebelum dapat dikutip sepenuhnya.

"Al-Quran atau dokumen mengandungi ayat Al-Quran perlu dikeringkan dan dihantar ke masjid dan surau berdekatan sebelum diambil oleh SWCorp dan dilupuskan mengikut peraturan," katanya.

Lori di Kampung Lombong yang membawa sampah sarap pukal untuk dilupuskan setelah proses pembersihan di Shah Alam, hari ini. - Foto hiasan BERNAMA
Lori di Kampung Lombong yang membawa sampah sarap pukal untuk dilupuskan setelah proses pembersihan di Shah Alam, hari ini. - Foto hiasan BERNAMA

Berita Harian X