SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan kerja pembersihan sampah pukal pasca banjir di Shah Alam dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
Datuk Bandar MBSA, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, ketika ini pihaknya sedang giat melaksanakan operasi pembersihan terutamanya di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Seksyen 16 (Padang Jawa) yang terjejas teruk akibat banjir pada minggu lalu.
Katanya, terdapat kekangan dalam operasi pembersihan yang mana laluan sempit dan banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan sehingga menyukarkan jentera MBSA untuk masuk ke kawasan berkenaan.
"Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini 'full force' dalam operasi pembersihan sampah pukal pasca banjir ini," katanya ketika ditemui di Wisma MBSA, dekat sini.
Mengulas lanjut, Zamani Ahmad berkata, setakat ini, kutipan sampah pukal pasca banjir kini mencecah 824 tan metrik dan jumlah berkenaan dijangka meningkat.
Katanya, MBSA sebelum ini membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 dekat sini berikutan banjir yang melanda.
"Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram, Kuala Selangor bagaimanapun susulan banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan.
"Jika ingin terus ke tempat pelupusan, ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu untuk memasuki kawasan terbabit," katanya.
Beliau berkata, pusat transit berkenaan kini sudah hampir 95 peratus penggunaan dan MBSA akan membuka satu lagi pusat yang sama di Seksyen 34 bagi menampung jumlah kutipan sampah yang dijangka meningkat.
Dalam pada itu mengulas lanjut berkenaan kereta yang tersadai akibat banjir, Zamani Ahmad berkata, MBSA hanya bertindak mengalihkan kereta terbabit ke bahu jalan agar tidak mengganggu laluan.
Katanya, ia juga untuk memastikan laluan lancar bagi jentera MBSA yang sedang dalam operasi pembersihan.
"Kita tidak bawa kereta orang awam ke mana-mana lokasi, hanya mengalihkan agar ia tidak mengganggu laluan jentera," katanya.