Jumaat, 24 Disember 2021 | 2:31pm
Pengarah Operasi Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara Brig Jen Datuk Mohd Zahari Yahya (kiri) membantu mangsa banjir, Ismail Sulaiman, 45, (kanan) membersihkan kawasan rumah selepas dilanda banjir kilat di taman perumahan sekitar Klang hari ini. - Foto BERNAMA

Pasukan bantuan bencana Istana Negara turun padang

KLANG: Kira-kira 100 pegawai dan staf Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor yang paling teruk terjejas iaitu Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Pengarah Operasi Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara, Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata penubuhan pasukan bantuan itu adalah hasil cetusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Di setiap lokasi kami akan menghantar 20 hingga 30 orang terdiri daripada warga Istana Negara. Idea ini adalah daripada Tuanku. Baginda menyatakan hasrat untuk membantu bukan hanya di negeri Selangor tapi akan bergerak ke negeri-negeri lain," katanya ketika hari ini.

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara melakukan kerja-kerja membersih dan mencuci rumah seorang mangsa banjir di taman perumahan sekitar Klang hari ini. - Foto BERNAMA
Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara melakukan kerja-kerja membersih dan mencuci rumah seorang mangsa banjir di taman perumahan sekitar Klang hari ini. - Foto BERNAMA

Terdahulu, pasukan bantuan tersebut melakukan kerja pembersihan pasca banjir di rumah penduduk yang terjejas di sebuah taman di Klang, dekat sini yang memerlukan bantuan berkenaan memandang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, bantuan berbentuk keperluan asas seperti pakaian, tuala, alat mandi, kit kendiri ujian COVID-19 dan makanan kering turut diberikan kepada para penduduk yang terjejas banjir.

Pasukan Bencana Istana Negara itu juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka, tambahnya.

Dalam pada itu, mangsa banjir, Ismail Sulaiman, 45, bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan memandangkan isteri beliau tidak dapat membantunya kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya yang menghidap autisme.

"Terima kasih kerana datang membantu saya dalam keadaan saya dan keluarga tidak tahu untuk berbuat apa-apa ketika ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X