Jumaat, 24 Disember 2021 | 10:26am
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Perlis laksana doa keselamatan musibah dalam khutbah Jumaat

KANGAR: Perlis mengarahkan kepada semua khatib dan pengurusan masjid di negeri itu untuk melaksanakan doa keselamatan dan kesejahteraan dalam berhadapan dengan ujian dan musibah bencana di seluruh negara bermula dengan solat Jumaat hari ini.

Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah sejajar dengan irsyad dan nasihat Mufti Negeri Perlis agar semua masjid di negeri itu diselaraskan untuk membaca doa khusus ketika khutbah Jumaat selaras dengan amalan yang bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

"Adalah menjadi harapan agar segala musibah dan ujian bencana yang sedang dihadapi di seluruh negara akan segera pulih dan keadaan akan menjadi baik seperti sedia kala.

"Amalan berdoa yang akan dilaksanakan oleh khatib seluruh negeri adalah sebahagian daripada usaha sebagai hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada pertolongannya," katanya dalam titahnya hari ini.

Titahnya lagi, selaras dengan perkembangan negara yang berhadapan dengan situasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh, MAIPs juga menggesa agar seluruh rakyat dan pemimpin memperteguhkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah.

"Selain itu kita juga perlu berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan tegahan serta laranganNya," titahnya lagi.

Berita Harian X