Jumaat, 24 Disember 2021 | 9:17am
Keadaan Sungai Langat ketika banjir yang melanda sekitar Hulu Langat. - Foto NSTP
Keadaan Sungai Langat ketika banjir yang melanda sekitar Hulu Langat. - Foto NSTP

Tiada sungai di Selangor catat paras bahaya

SHAH ALAM: Tiada sungai di Selangor mencatatkan paras air di tahap bahaya (merah) sehingga jam 8.45 pagi hari ini, lapor laman sesawang InfoBanjir.

Bagaimanapun, Sungai Langat di Bukit Changgang yang terletak dalam daerah Kuala Langat merekodkan paras 4.14 meter (m) melepasi tahap amaran (jingga) iaitu 3.80 m.

Sungai Buloh di Parit Mahang dalam daerah Kuala Selangor berada pada tahap berjaga-jaga pada bacaan 3.74 m.

Sementara itu, 10 lokasi Sungai Klang di seluruh Selangor berada pada tahap normal, membabitkan dua di Klang, lima di daerah Petaling dan masing-masing satu di Gombak, Hulu Langat dan Sepang.

Orang ramai terus diingatkan mengelakkan diri ke kawasan berisiko dan dinaiki air demi keselamatan masing-masing.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my untuk melihat perkembangan terkini dari semasa ke semasa paras air di seluruh negara.

Berita Harian X