Jumaat, 24 Disember 2021 | 9:02am
Ahmad Dasuki (dua dari kanan) dan Ahmad Talmizi (kanan) bersama penerima sumbangan Akaun Simpan SSPN
Ahmad Dasuki (dua dari kanan) dan Ahmad Talmizi (kanan) bersama penerima sumbangan Akaun Simpan SSPN

PTPTN sumbang zakat akaun Simpan SSPN Prime kepada asnaf Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan keprihatinannya dengan menyampaikan sumbangan berbentuk akaun Simpan SSPN Prime membabitkan seramai 2,200 asnaf di Wilayah Persekutuan.

Menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM220,000, setiap penerima akan memperoleh RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Penerima merangkumi 1,200 murid sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL), 500 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan 500 lagi kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata menerusi sumbangan itu pihaknya prihatin bagi memastikan anak golongan asnaf mempunyai masa depan pendidikan yang lebih cerah.

Sehubungan itu, beliau berkata menjadi keutamaan pihaknya untuk memastikan anak golongan asnaf dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.

"Ia bukan sahaja dapat membantu lebih ramai keluarga asnaf yang memerlukan, malah sebagai langkah untuk memberi kesedaran bagi mengubah pandangan masyarakat terhadap PTPTN mengenai fungsi PTPTN sebagai agensi tabung pendidikan negara yang utama.

"PTPTN sebagai agensi tabung pendidikan utama negara terus komited untuk terus menanam budaya menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan mengajar ibu bapa membuat penabungan.

"Matlamat untuk melahirkan modal insan yang syumul serta berilmu dan menjadi role model (contoh) kepada masyarakat akan terlaksana sekiranya ibubapa di luar sana bijak merancang kewangan anak mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime kepada Asnaf di Wilayah Persekutuan, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Pengurus Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Talmizi Yahaya; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPWKL, Mohd Ramli Shalan dan Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN Kuala Lumpur, Ahmad Shahril @ Muhammad Shahrir Ghazali.

Menjelaskan mengenai instrumen simpanan diperkenalkan PTPTN, Ahmad Dasuki, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan sebagai usaha menggalakkan budaya penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu melalui Simpan SSPN.

Jelasnya, instrumen dipelopori PTPTN memberikan pelbagai keistimewaan dan manfaat untuk masyarakat Malaysia.

"Satu produk di bawah Simpan SSPN adalah Simpan SSPN Prime yang memberikan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Simpan SSPN Prima memberikan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak.

"Gerakan sepadan adalah insentif kewangan yang ditawarkan apabila anak diterima serta mendaftar masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf kerajaan.

"Penabungan melalui Simpan SSPN Prime turut memberikan dividen kompetitif, perlindungan takaful disediakan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal kepada ibu atau bapa sebagai pendeposit.

Masa depan anak untuk melanjutkan pengajian masih terjamin kerana simpanan ini menyediakan perlindungan takaful secara percuma berdasarkan jumlah simpanan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ramli berkata JPWKL mengucapkan terima kasih atas bantuan yang disalurkan dan berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak asnaf, keseluruhan dari golongan B40 di Kuala Lumpur.

Katanya, usaha PTPTN ini sangat baik dan sewajarnya diteruskan kepada golongan yang memerlukan dan pihaknya komited menyokong usaha sedemikian, dengan membantu menyalurkan maklumat mengenai murid yang memerlukan.

"Usaha PTPTN ini adalah usaha murni yang kita sokong sebenarnya dan ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan paling sesuai berdasarkan situasi pandemik serta banjir yang sedang melanda negara," katanya.

Berita Harian X