Khamis, 23 Disember 2021 | 9:45pm
Azlan Man (empat kiri) membantu sukarelawan mengangkut air mineral yang akan dibawa dalam Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks DUN Perlis, Kangar di mana misi dijalankan sebagai bantuan kepada mangsa bencana banjir di Selangor dan Kuala Lumpur. - Foto AIZAT SHARIF
Azlan Man (empat kiri) membantu sukarelawan mengangkut air mineral yang akan dibawa dalam Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks DUN Perlis, Kangar di mana misi dijalankan sebagai bantuan kepada mangsa bencana banjir di Selangor dan Kuala Lumpur. - Foto AIZAT SHARIF

Lebih RM500,000 sumbangan rakyat Perlis bantu mangsa banjir

KANGAR: Lebih RM500,000 sumbangan dan bantuan disalurkan oleh masyarakat di Perlis bagi membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas dengan bencana itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, walaupun negeri itu tidak mengalami banjir besar seperti negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan, rakyat Perlis tidak akan sesekali membiarkan mangsa banjir di negeri berkenaan terbiar tanpa dibantu.

"Kordinasi yang dijalankan melalui Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis adalah dimulakan oleh saya menerusi media sosial Facebook sekitar dua hari lalu.

"Kita mengajak sukarelawan serta bantuan dan sumbangan orang ramai untuk bersama-sama membantu mangsa banjir di Lembah Kelang terutamanya di Selangor.

"Saya pada mulanya menjangkakan setidak-tidaknya sumbangan sekitar RM300,000 namun setakat ini saya difahamkan ia sudah pun melebihi setengah juta dan ada juga penyumbang ini juga sudah dengan sendirinya membawa lori mereka 'turun' ke Selangor untuk membantu sendiri mangsa disana," katanya pada media sebelum melakukan pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini hari ini.

Katanya, beliau yang mengetuai misi berkenaan akan berada di kawasan Dusun Tua, Hulu Langat sehingga 25 Disember ini untuk membantu mengagihkan bantuan disamping membersihkan rumah mangsa banjir yang teruk dilanda banjir lumpur.

"Kita juga ada tiga kategori bentuk bantuan yang akan disampaikan pertamanya adalah wang tunai dalam jumlah tertentu yang akan digunakan untuk membeli barang mentah untuk dimasak.

"Selain itu, makanan segar untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah dan tempat tinggal mereka tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan malam.

"Selain itu, sumbangan dalam bentuk barangan di mana kita difahamkan daripada penyelaras bantuan di Selangor, mangsa memerlukan tilam, tikar getah, selut dan juga dapur masak.

"Malah, saya juga diberitahu bahawa penyumbang kita di sini juga turut menderma bahan makanan dan pakaian dan kita akan bawa semua ini untuk diberikan kepada penyelaras di sana," katanya.

Beliau berkata, sukarelawan misi kemanusiaan berkenaan juga ditugaskan untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir, premis kerajaan, masjid atau surau yang ditetapkan oleh penyelaras di lokasi bencana.

Terdahulu, Azlan melakukan pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis yang membabitkan sukarelawan dari Kerajaan Negeri Perlis, Agensi dan badan berkanun negeri, UMNO Perlis, Majlis Perbandaran Kangar serta badan bukan kerajaan (NGO) di Kompleks DUN Perlis, Kangar.

Sebanyak 38 kenderaan terdiri daripada lori, kenderaan pacuan empat roda, van terbabit dalam misi ini.

Berita Harian X