Khamis, 23 Disember 2021 | 6:24pm
KPDNHEP menyediakan bantuan pengiring kepada lori OILCO yang menghantar bekalan bahan api ke kawasan bencana terutama dalam memastikan ianya tidak terhalang dengan kesesakan lalu lintas atau halangan lain. - FOTO KPDNHEP
KPDNHEP menyediakan bantuan pengiring kepada lori OILCO yang menghantar bekalan bahan api ke kawasan bencana terutama dalam memastikan ianya tidak terhalang dengan kesesakan lalu lintas atau halangan lain. - FOTO KPDNHEP

Bekalan petrol, diesel di kawasan banjir mencukupi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan bekalan petrol dan diesel tidak terjejas di kawasan yang dilanda banjir.

Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan olehnya dengan syarikat pembekal petrol dan diesel (OILCO) yang dihadiri oleh semua wakil di seluruh negara, semalam.

Katanya, KPDNHEP juga bersetuju memberikan bantuan pengiring kepada lori OILCO yang menghantar bekalan bahan api ke kawasan bencana terutama dalam memastikan ianya tidak terhalang dengan kesesakan lalu lintas atau halangan lain.

"Stesen minyak yang tergendala operasi atau terpaksa ditutup akibat banjir atau lain-lain bencana perlu membuat laporan segera kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP Negeri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, dalam persetujuan tersebut juga syarikat minyak diminta melaporkan situasi semasa sebelum jam 10 malam bermula hari ini dengan menyatakan butiran seperti nama dan tempat stesen minyak; tempoh masa penutupan, tempoh jangkaan beroperasi semula.

Katanya, selain itu lain-lain masalah berkaitan bekalan di stesen petrol yang berada di kawasan bencana dan jika tiada stesen petrol ditutup, perlu memaklumkan semua stesen minyak beroperasi seperti biasa.

"Kementerian turut mengarahkan semua OILCO supaya memastikan tidak berlaku sebarang gangguan bekalan petrol dan diesel serta membuat langkah persediaan bagi memastikan penghantaran bekalan dapat dilaksanakan dengan cepat ke kawasan yang terjejas.

"Selain itu kementerian juga sudah meminta OILCO yang memiliki Stesen Petrol Bergerak (ROVR) untuk digunakan aparatus dan perkhidmatan tersebut di kawasan di mana semua stesen petrol terpaksa ditutup," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemain industri boleh menghubungi Pusat Pengarahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 6245.

Berita Harian X