Khamis, 23 Disember 2021 | 3:44pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto fail NSTP
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto fail NSTP

'Mangsa banjir luar PPS boleh ambil bantuan' - Rina

SEPANG: Bantuan makanan dan barangan keperluan dikumpul di pusat pemindahan sementara (PPS) bukan hanya untuk mangsa banjir yang berlindung di situ, sebaliknya juga untuk diagihkan kepada mereka yang memilih terus tinggal di rumah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, berkata mangsa banjir yang tidak berlindung boleh datang ke PPS untuk mendapatkan bantuan, termasuk yang disumbangkan orang ramai dan syarikat korporat.

Katanya, tidak timbul isu hanya mangsa banjir di pusat berkenaan layak menerima bantuan disediakan kerajaan mahupun sumbangan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ada antara mereka (mangsa banjir) ini tidak tinggal di PPS, tetapi terjejas dengan banjir dan memerlukan bantuan.

"Saya sudah arahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun kita tahu bantuan yang diberikan khusus untuk mereka yang berlindung di PPS, namun masih ada yang tidak berpindah ke PPS tetapi memerlukan bantuan," katanya selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan di sini, hari ini.

Rina berkata, mangsa banjir hanya perlu datang ke PPS berhampiran dan mendaftar untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

"Cuma nyatakan nama, pendaftaran hanya untuk rekod kita. Apa yang ada (di PPS) kita agih bersama," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang, Kuala Langat semalam. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang, Kuala Langat semalam. - Foto BERNAMA

Sebelum ini, tular di media sosial satu klip video dimuat naik pengguna dengan nama Cikgu Fadli Salleh memaparkan lambakan barangan sumbangan orang ramai yang tidak dibenarkan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang tidak berlindung di PPS.

Dalam perkembangan lain, Rina yang teruk dihentam kerana dikatakan memakai kasut tumit tinggi ketika melawat sebuah PPS di ibu negara, berkata ketika itu dia hanya memikirkan untuk melihat kebajikan lebih 500 mangsa banjir yang berlindung di PPS terbabit.

"Saya yang sebelum itu menghadiri Perhimpunan Agung BERSATU hanya sempat menukar baju kurung rasmi parti kepada seluar dan kemeja tanpa memikirkan soal kasut.

"Saya hanya menyarung kasut yang dirasakannya selesa sebelum melawat mangsa. Saya minta daripada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ucapan saya keluar untuk ke PPS.

"PPS SJKT Sarawasthy bukan PPS yang pada asalnya dalam senarai kita, sebaliknya dibuka kerana keperluan mendesak.

"Apa yang penting keberadaan saya di tempat itu untuk melihat kebajikan mereka terjaga dan apa lagi keperluan mereka yang saya (perlu) bantu. Saya minta maaf... saya tak sangka kasut saya lebih penting untuk difikirkan dari saya berada di sana melihat kebajikan (mangsa banjir)," katanya.

Berita Harian X