Khamis, 23 Disember 2021 | 3:12pm
 Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

207 Tabika, Taska, pusat kegiatan KEMAS terjejas banjir

PUTRAJAYA: Sebanyak 207 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terjejas akibat banjir di Lembah Klang serta beberapa negeri lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata 111 Tabika KEMAS yang paling teruk terjejas di Selangor, manakala 58 lagi di Pahang.

"Sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lalu susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan, manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Sehubungan itu, beliau berkata, seramai 1,256 sukarelawan kakitangan KEMAS digerakkan ke negeri terjejas banjir bagi melaksanakan misi bantuan pasca banjir di bawah program KEMAS Prihatin selama tiga hari bermula hari ini.

"Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja pembersihan premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga untuk rumah penduduk berhampiran.

"Kita berharap bantuan digerakkan ini dapat membolehkan premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula," katanya.

Mahdzir berkata, antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang di Selangor serta Pahang.

"Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS terbabit misi bantuan dan ini juga satu ibadah kepada kita membantu melapangkan kesusahan orang lain," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X