Khamis, 23 Disember 2021 | 9:48am
Penduduk, Rezaldean Md Yunos, 42, membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok China, Melaka. - Foto BERNAMA
Penduduk, Rezaldean Md Yunos, 42, membersihkan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok China, Melaka. - Foto BERNAMA

135 mangsa banjir di tiga PPS di Melaka

MELAKA: Seramai 135 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata daripada jumlah itu seramai 67 mangsa di daerah Alor Gajah, manakala 68 lagi di Jasin.

Beliau berkata, dua PPS di Alor Gajah membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China menempatkan 63 mangsa, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam hanya empat mangsa.

"Di Jasin pula membabitkan SK Parit Penghulu Benteng yang menempatkan 68 mangsa daripada 14 keluarga.

"Setakat ini, sebanyak 15 kawasan terjejas akibat banjir di Alor Gajah iaitu Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok Cina, Ramuan China Besar, Taman Seri Bayu 1 & 2 , Kampung Pengkalan dan Kampung Panchor.

"Kawasan lain, termasuk Kampung Beringin, Kampung Paya Lebar, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Pulau, Kampung Gangsa dan Kampung Gadek Dalam," katanya.

Bagi daerah Jasin pula, Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Lubuk Kasau, Tanjung Labuh, Kampung Tersusun Rambai Jaya, Tehel dan Batu 16 Jasin.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan banjir di daerah Melaka Tengah kini pulih sepenuhnya selepas tiga PPS yang dibuka di Krubong, Tanah Merah dan Taman Merdeka sudah ditutup.

Berita Harian X