Khamis, 23 Disember 2021 | 8:46am
Wan Saiful menyerahkan kit bantuan banjir kepada mangsa banjir sambil diperhatikan Ahmad Dasuki (kiri) di PPS di Jalan Klang Lama.
Wan Saiful menyerahkan kit bantuan banjir kepada mangsa banjir sambil diperhatikan Ahmad Dasuki (kiri) di PPS di Jalan Klang Lama.
Ahmad Dasuki (kanan) melawat mangsa banjir di PPS Jalan Klang Lama.
Ahmad Dasuki (kanan) melawat mangsa banjir di PPS Jalan Klang Lama.

PTPTN gerak misi bantuan mangsa banjir

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), DANA KITA menyampaikan bantuan kepada lebih 1,000 penduduk terjejas banjir.

Sumbangan kit bantuan banjir termasuk keperluan harian serta makanan diagihkan kepada mangsa banjir di Kuala Lumpur dan Selangor melalui program PTPTN Prihatin: Misi Bantuan Banjir Skuad PTPTN Prihatin, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan semalam, PTPTN memaklumkan, pengagihan bantuan dan sumbangan adalah berdasarkan kelulusan pihak berkaitan serta selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kit bantuan banjir diagihkan kepada mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathy, Jalan Klang Lama dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, Hulu Langat.

"Skuad Prihatin PTPTN dan sukarelawan turut turun padang membantu membersihkan kediaman terjejas," katanya.

Sumbangan di PPS SJKT Saraswathy disampaikan Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang turut disertai Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengurus Besar Kanan, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Misi bantuan kedua di PPS SK Sungai Serai disertai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Rohani Mohd Shahir dan Ketua Pegawai Operasi, Mastura Mohd Khalid.

PTPTN prihatin dan proaktif menghulurkan bantuan serta sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat seterusnya membantu masyarakat yang memerlukan.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang cakna dan prihatin dengan situasi bencana melanda negara, Skuad Prihatin PTPTN akan bergerak membantu mangsa banjir di lokasi lain, termasuk Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Sumbangan ini juga tanda prihatin PTPTN terhadap golongan memerlukan. Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban kesusahan dan emosi ditanggung mangsa.

"Dalam suasana mencabar ini, PTPTN sentiasa optimis membantu masyarakat bertepatan dengan konsep 'Keluarga Malaysia' melalui program CSR," katanya.

Berita Harian X